Home Nasional Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

Buruh didakwa rogol anak kandung, setiap hari selama empat bulan

KUALA TERENGGANU – Seorang buruh hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 104 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuan kandungnya.

Lelaki berkenaan yang berusia 46 tahun turut didakwa atas satu pertuduhan meliwat anak sulungnya itu yang berusia 15 tahun.

Tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding hampir tiga jam itu, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut hampir setiap hari dalam tempoh empat bulan di sebuah rumah yang didiami tertuduh, mangsa dan dua lagi anak lelakinya yang berusia 12 serta 13 tahun.

Tertuduh yang telah bercerai dengan ibu mangsa sejak 11 tahun lalu didakwa melakukan kesemua 104 kesalahan sumbang mahram itu antara 14 Ogos 2019 hingga 26 Nov 2019, antara 12.01 tengah malam hingga 12.30 tengah malam, di sekitar Kuala Berang.

Bagi kesalahan liwat, dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama pada 26 Nov 2019, kira-kira pukul 12.01 tengah malam hingga 4 pagi.

Bagi tuduhan sumbang mahram, dia didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan maksimum 10 sebatan manakala bagi tuduhan liwat, dia dituduh mengikut Seksyen 377(C) kanun yang sama, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Wan Nooriah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Januari untuk sebutan kes. – Bernama