Home Nasional KIMMA sentiasa setia kepada BN, tolong beri kami peluang – Syed Ibrahim

KIMMA sentiasa setia kepada BN, tolong beri kami peluang – Syed Ibrahim

Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi (tengah) bergambar bersama Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (empat kanan), Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa (empat kiri) dan barisan kepimpinan tertinggi KIMMA pada Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-42 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Sudah tujuh kali Kongres India Muslim Malaysia atau singkatannya, KIMMA memohon untuk menjadi sebahagian daripada komponen Barisan Nasional (BN) namun saban kali permintaan itu ditolak.

Sejak 10 tahun kebelakangan ini, KIMMA yang diiktiraf oleh UMNO sebagai sebuah parti gabungan menggesa supaya mereka diberikan pengiktirafan lebih inklusif dalam BN bagi mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Malah alasan gagal mencapai ‘konsensus’ dalam kalangan parti komponen lain dalam BN dianggap tidak sepatutnya menjadi satu lagi isu.

Itu kata Presiden KIMMA, Datuk Seri Datuk Seri Syed Ibrahim Kader sambil memberikan contoh kesetiaan parti itu yang tidak berbelah bahagi bukan sahaja ketika BN masih memegang tampuk kuasa tetapi juga ketika kalah besar pada PRU lepas.

“Dulu ada 14 parti, kemudian selepas kalah 11 parti sudah ‘menghilangkan diri’ namun walaupun kita tidak mendapat pengiktirafan sebagai komponen kita masih tetap setia bersama BN.

“Parti UMNO yang merupakan parti terbesar dalam BN sendiri sanggup memberi ruang kepada parti kerdil seperti kami tetapi yang jadi persoalan adalah parti komponen lain dalam BN yang tidak punyai punyai sikap ‘terbuka’ ini.

“Kimma ketika ini mempunyai ahli sekurang-kurangnya 128,000 masih lagi setia tidak kira apa jua. Kita tidak kejar peruntukan, pangkat atau jawatan sebaliknya mahukan satu platform bagi komuniti India Muslim di negara ini.

“Jasa KIMMA pada BN sesuatu yang tidak boleh dinafikan sejak dulu lagi apatah lagi menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK). Ada ketikanya kita tidak mendapat apa-apa peruntukan sekalipun namun tetap turun padang jalankan tanggungjawab kita sebagai sebahagian daripada parti BN.

“Walaupun angka kita kecil namun pada masa sama, KIMMA juga mampu membawa perubahan serta maklum balas cukup baik bukan sahaja dalam kalangan India Muslim sebaliknya pelbagai kaum serta bangsa.

“Terus terang saya katakan, sudah lama saya pujuk ahli KIMMA supaya bersabar namun tidakkah tempoh 43 tahun untuk kami tunggu bagi menjadi sebahagian daripada keluarga BN.

“Mereka mahu diberikan pengiktirafan. Hakikatnya kita bukan sahaja setia sebaliknya amat yakin dengan perjuangan BN selama ini, hanya BN sahaja dapat mendengar keluh kesah bukan satu kaum sebaliknya majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Perhimpunan Agung Tahunan KIMMA ke-42 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang turut dihadiri oleh sebahagian besar pimpinan BN dan Pas buat pertama kali dalam sejarah parti itu.

Perhimpunan ini telah dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Syed Ibrahim lagi, pihaknya cukup lega apabila baru-baru ini ketika Perhimpunan Agung Tahunan IPF, Zahid telah memberikan jaminan bahawa satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi parti India itu.

“Saya amat berharap KIMMA juga diberikan pengiktirafan seumpama itu apatah lagi kini ‘cara’ BN bagi mendekatkan diri dengan rakyat juga lain. KIMMA juga mampu memberikan kejayaan serta perkhidmatan terbaik apatah lagi kami bukanlah baharu.

“Seluruh perwakilan serta ratus ribu di luar sana sedang menunggu dengan penuh harapan, berikanlah kami berita paling baik pada kali ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim yang pernah menjadi Ahli Dewan Negara selama dua penggal memberitahu, beberapa usul termasuk d terima sebagai parti komponen BN selain diberikan kerusi Parlimen dan DUN kelak.

Selain itu mereka juga berikrar untuk terus taat setia kepada BN di bawah kepimpinan Ahmad Zahid bagi kelangsungan politik lebih baik untuk rakyat yang jelas ‘tertipu’ dengan agenda kerajaan Pakatan Harapan yang hanya mempergunakan pengundi untuk menang Putrajaya. – MalaysiaGazette