Home Sukan Joaquin muncul pemain tertua hatrik La Liga

Joaquin muncul pemain tertua hatrik La Liga

Kapten Real Betis, Joaquin

MADRID – Kapten Real Betis, Joaquin muncul pemain tertua meledak hatrik dalam sejarah La Liga ketika membantu pasukannya menewaskan Athletic Bilbao 3-2, awal pagi tadi.

Pada usia 38 tahun dan 140 hari, Joaquin mencipta hatrik pertamanya mengatasi catatan legenda Real Madrid, Alfredo Di Stefano yang rekodnya bertahan selama 55 tahun.

Joaquin juga hanya pemain ketujuh dalam sejarah liga meledak hatrik dalam tempoh 20 minit pertama perlawanan selepas menjaringkan gol pada minit ke-2, 11 dan 20 dalam aksi di Benito Villamarin.

“Saya pasti akan mengingati detik ini sepanjang hayat saya,” kata Joaquin dalam video di Instagramnya.

Bagaimanapun, Betis yang mendahului 3-0 cemas apabila Inaki Williams menjaringkan penalti dan Yuri Berchiche menambah gol kedua untuk Bilbao dalam tempoh 15 minit.

Joaquin yang memiliki 51 kap bersama Sepanyol memulakan karier profesionalnya di Betis dan kembali semula ke kelab itu pada 2015 selepas beraksi bersama Valencia, Malaga dan Fiorentina.

Keseluruhannya dia kini sudah menjaringkan 72 gol daripada 533 aksi La Liga.

Jaringan hatriknya itu membantu Betis meraih kemenangan ketiga berturut-turut dan melonjak ke tangga ke-11 dalam carta liga.

Pencabar setempat Sevilla hanya mampu seri 1-1 menentang pasukan baharu La Liga, Osasuna dan kekal di tangga ketiga, tiga mata di belakang Barcelona dan Real Madrid.

Berikut keputusan perlawanan La Liga Sepanyol yang berlangsung awal pagi tadi:-

Eibar 0 – 1 Getafe

Real Betis 3 – 2 Athletic Bilbao

Real Valladolid 0 – 0 Real Sociedad

Leganes 3 – 2 Celta Vigo

Osasuna 1 – 1 Sevilla

– MalaysiaGazette