Home Ekonomi Bank Dunia semak turunkan pertumbuhan KDNK Malaysia 4.5%

Bank Dunia semak turunkan pertumbuhan KDNK Malaysia 4.5%

Ketua Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Amalan Pelaburan Global Bank Dunia, Richard Record berkata, paras hutang negara masih sederhana dan tidak membimbangkan.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5 peratus bagi 2020 berbanding unjuran tahun ini sebanyak 4.6 peratus.

Ketua Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburannya, Richard Record berkata, unjuran KDNK yang lebih rendah itu sebahagian besarnya disebabkan oleh jangkaan pelaburan dan pertumbuhan eksport pada suku ketiga (Q3) 2019 yang lemah.

“Penggunaan swasta dijangkakan berkembang pada kadar 6.5 peratus tahun depan, didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang stabil, inflasi yang agak lemah, dan sokongan berterusan daripada langkah-langkah kerajaan,” katanya kepada pemberita pada pelancaran edisi ke-21 Pemantau Ekonomi Malaysia – ‘Memenuhi Keperluan’ di sini, hari ini.

Dalam sektor awam, beliau berkata, perancangan rasionalisasi perbelanjaan mengurus kerajaan terus menyumbang kepada sumbangan daripada penggunaan kerajaan, yang diunjurkan meningkat 1.8 peratus pada 2020 berbanding jangkaan 1.7 peratus pada 2019.

“Pembentukan modal tetap kasar dijangka bertambah baik, namun akan terus lemah dalam tempoh terdekat, dengan kedua-dua sektor awam dan swasta terus mengambil sikap berhati-hati mengenai perbelanjaan modal. Aktiviti pelaburan secara menyeluruh dijangkakan berkembang 1.4 peratus tahun depan, 0.3 mata peratusan lebih rendah berbanding unjuran sebelumnya.

“Semakan menurun itu sebahagian besarnya mencerminkan aktiviti pelaburan swasta yang lemah daripada jangkaan pada Q3 tahun ini, dengan prospek perdagangan yang lemah dan ketidaktentuan menjejaskan keyakinan dan cadangan perniagaan, “katanya.

Sebaliknya, Record berkata pelaburan awam berkemungkinan akan terus merosot dalam jangka terdekat, walaupun pada tahap yang lebih rendah, berikutan peningkatan pelaburan yang dirancang oleh syarikat awam dalam sektor pengangkutan dan perlombongan

Untuk eksport, beliau berkata ia dijangka kekal sederhana pada 0.5 peratus tahun depan dalam konteks kedudukan ekonomi global yang mencabar dan ketidaktentuan berkaitan perdagangan dalam tempoh yang panjang, namun diimbangi sebahagiannya oleh pemulihan eksport perlombongan ekoran gangguan bekalan yang diluar jangka dalam tempoh suku terbaharu.

“Pertumbuhan import dijangka meningkat sederhana pada 0.4 peratus pada 2020, memandangkan pertumbuhan eksport barangan pengantara dan modal memperoleh sedikit momentum dengan peningkatan kecil dalam aktiviti eksport dan pelaburan.

“Lebihan akaun semasa dijangka berkurang kepada sekitar 3.0 peratus daripada KDNK pada 2020, dengan lebihan dagangan yang sederhana dalam barangan, akan terus mengimbangi defisit berterusan dalam perkhidmatan dan akaun pendapatan,” katanya. – MalaysiaGazette