KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa agar majlis tidak diheret dalam pertembungan politik kepartian sebaliknya ia wajar diselesaikan menggunakan platform politik masing masing.
Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, MBM adalah platform secara kolektifnya non-partisan untuk semua sama ada belia tidak berparti, belia penyokong PH mahupun belia penyokong BN.
Sehubungan itu, katanya, pandangan dan tujahan Mohd Syahbuddin Hashim di Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini tidak mewakili pandangan rasmi MBM kerana pandangan rasmi adalah pada Presiden MBM, sementelah Syahbuddin menggunakan pentas politik dan bukan pergerakan belia jauh, sekali MBM.
Bahkan, katanya, nama MBM langsung tidak disebut sepanjang ucapan Syahbuddin.
Jufitri berkata, MBM dan badan gabungannya mahu terus fokus menjayakan agenda pembangunan belia dan negara dan tidak mahu terheret dalam kancah konflik politik kepartian yang boleh merencatkan usaha ini.
“Kami yakin sebahagian besar belia sudah letih dengan senario politik semasa dan mahu para pemain politik khususnya Kerajaan fokus kepada membangunkan belia dan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
MBM juga, katanya, menyeru agar pemimpin belia memainkan peranan sebagai agen pendamai kepada kedua-dua pihak kerana tidak ramai yang mahu melihat persahabatan dibina walaupun berbeza pandangan.
Sebaliknya ramai yang suka menjadi agen penyimbah minyak, ujar Jufitri lagi.
Menurutnya, dialog dengan memelihara adab perbezaan harus disuburkan bagi menyelesaikan sebarang konflik kerana sejarah menyaksikan konflik yang tajam tidak membawa negara ke mana-mana.
“MBM harus terus dipertahankan sebagai wadah belia untuk semua (bukan milik eksklusif kelompok tertentu) yang membantu kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan untuk membangunkan belia dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette