KUALA LUMPUR – Sistem elektrik di Pulau Langkawi yang kini dikawal sepenuhnya secara automasi akan dipertingkatkan lagi menerusi kabel dasar laut sepanjang 26.5 kilometer yang menyalurkan tenaga dari Grid Nasional ke pulau peranginan itu.
“Usaha merentang kabel dasar laut 132 kilovolt (kV) ini adalah sebahagian daripada perbelanjaan modal Tenaga Nasional Berhad untuk mengukuhkan infrastruktur elektrik negara,” kata Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir. Husaini Husin.
Menurutnya kerja merentang kabel dasar laut yang menghubungkan Pencawang Masuk Utama (PMU) Kuala Perlis dengan PMU Teluk Apau di Pulau Langkawi bermula Oktober lalu dan dijangka siap hujung tahun ini.
Perentangan kabel tersebut dijangka dapat membantu persiapan Pulau Langkawi untuk menerima kira-kira empat juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, selain menjadi satu daripada lokasi mesyuarat Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020).
Projek berkenaan dapat mengukuhkan daya harap, kualiti, kestabilan dan kecekapan pembekalan elektrik ke Pulau Langkawi yang ketika ini mendapat bekalan dari Grid Nasional menerusi dua lagi kabel dasar laut sedia ada, kata Ir. Husaini.
Kabel dasar laut yang sedang direntang itu menggunakan teknologi terkini, iaitu cross-linked polyethylene berbanding oil-filled cable yang digunakan sebelum ini, katanya lagi.
Husaini berkata, bermula awal tahun ini, sistem bekalan elektrik di Pulau Langkawi dikawal secara automasi sepenuhnya melalui Kawalan Penyeliaan dan Perolehan Data Berkomputer (SCADA) yang menghubungkan semua 404 pencawang di pulau peranginan itu. – MalaysiaGazette