KUALA LUMPUR – Setiap kali hujan lebat, Siti Farhana Othman, pengguna setia LRT akan mengeluh dan risau mengenai nasibnya hari itu.
Bukan apa, sejak menggunakan perkhidmatan tersebut beberapa tahun lalu untuk berulang ke tempat kerja, mesti berlaku gangguan setiap kali hujan lebat melanda Kuala Lumpur.
Menurut Farhana, bukan setakat berita-berita yang diviralkan sahaja malah operasi LRT seakan wajib tergendala setiap kali hujan lebat.
Paling diingati apabila ribuan penumpang terkandas apabila LRT laluan Kelana Jaya terkandas akibat gangguan elektrik pada September lalu sehingga menyebabkan sebahagian membahayakan diri untuk berjalan di atas landasan untuk kembali ke stesen.
Dua hari sebelum itu, ribuan pengguna LRT terkandas berikutan masalah teknikal yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan dari laluan Gombak hingga Putrajaya terjejas sejak 7 pagi.
MalaysiaGazette mendapatkan reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Datuk Ir. Zohari Sulaiman berhubung perkara tersebut.
Menurut beliau, gangguan teknikal bukan berlaku disebabkan oleh hujan sahaja tetapi disumbang oleh faktor-faktor lain.
Meskipun tidak mendedahkan secara terperinci masalah yang dihadapi oleh LRT sehingga menyebabkan gangguan dan menyusahkan penumpang, Zohari mengakui kemudahan dan sistem yang sudah berusia lebih 20 tahun itu merupakan antara penyumbang utama.
“Memang diakui, kemudahan yang dimiliki oleh LRT sudah berusia lebih 20 tahun dan mempunyai pelbagai masalah. Kita sudah menggunakan kemudahan dan sistem ini sejak hari pertama LRT beroperasi.
“Gangguan-gangguan berlaku bukan disebabkan hujan sahaja, kadangkala semasa tiada hujan pun kami ada masalah teknikal,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Zohari yang enggan mengulas lanjut mengenai masalah tersebut juga tidak mahu berkongsi jalan penyelesaian bagi mengatasi gangguan teknikal berkenaan.
Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihak pengendali LRT perlu melaksanakan semua langkah penambahbaikan bagi memastikan insiden gangguan operasi tidak berulang lagi.
Kerajaan katanya tidak berhasrat mengenakan kompoun kepada syarikat tersebut kerana berpendapat menghukum bukanlah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah tersebut.-MalaysiaGazette