Home Dunia AS gantung latihan udara penuntut tentera Arab Saudi

AS gantung latihan udara penuntut tentera Arab Saudi

Mohammad Sameh Haitham dan Joshua Kaleb Watso, antara tiga mangsa yang ditembak oleh seorang pelatih tentera Arab Saudi di pangkalan tentera Amerika Syarikat. foto Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat melarang pelatih-pelatih tentera udara Arab Saudi melakukan aktiviti penerbangan di pangkalannya susulan kes tembakan di Florida pada Jumaat lalu.

Tetapi pembelajaran di dalam kelas masih diteruskan.

Penangguhan itu melibatkan 852 orang penuntut Arab Saudi yang mendaftar di semua program ketenteraan di pelbagai lokasi merentasi Amerika Syarikat.

Pegawai Pentagon berkata, penangguhan itu mungkin mengambil masa antara lima hingga 10 hari.

Tindakan itu dibuat selepas Setiausaha Pertahanan, Mark Esper mengarahkan siasatan lanjut berhubung tembakan tiga kelasi di pangkalan tentera oleh seorang leftenan tentera udara Arab Saudi.

Biro Siasatan Persekutuan berkata, pihaknya masih mengenal pasti punca serangan oleh suspek yang telah ditembak mati oleh polis.

Pihak penyiasat sedang melakukan siasatan susulan tanggapan ia mungkin tindakan pengganas.

Kes tembakan di Pensacola itu telah meletakkan hubungan Amerika Syarikat-Arab di bawah pengawasan.

Hubungan telah ditekan oleh serangan tentera Arab Saudi di Yaman dan pembunuhan kolumnis Washington Post, Jamal Khashoggi tahun lepas.

Malah, Pentagon berkata, Jabatan Pertahanan juga sedang menjalankan semakan pemilihan penuntut-penuntut tentera asing seramai 5,000 yang menjalani latihan di negara ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, tiga mangsa maut di pangkalan Pensacola dikenal pasti sebagai Joshua Kaleb Watson, 23, Mohammed Sameh Haitham, 19, dan Cameron Scott Walters, 21.

Mereka ditembak oleh Mohammed Alshamrani, 21.

Kejadian itu menyebabkan lapan individu cedera termasuk dua pegawai tentera. – MalaysiaGazette