KUALA LUMPUR – BIMB Holdings Berhad (BIMB Holdings) mengumumkan cadangan penstrukturan semula kumpulan yang akan membuka nilai signifikan kepada pemegang saham.
Ia turut membabitkan pemindahan status penyenaraian yang dimiliki kepada anak syarikat milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) yang merupakan salah satu daripada lima komponen penyusunan semula itu.
Dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia Securities Berhad, BIMB Holdingberkata, setelah muktamadkan pengagihan-in-specie (pengagihan aset) penstrukrutan semula itu, pemegang saham BIMB Holdings akan mempunyai pegangan ekuiti langsung dalam s saham Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (STMKB), sebagaimana perkadaran pegangan saham mereka di BIMB Holdings.
“Status penyenaraian BIMB Holdings kemudian akan dipindahkan ke Bank Islam, yang seterusnya akan menjadi institusi kewangan Islam penuh dan tulen pertama yang tersenarai di rantau ini dan langkah ini akan meningkatkan lagi reputasi korporat
yang dimiliki,” katanya.
Pada 1992, Bank Islam disenaraikan di Bursa Malaysia Securities, sebelum BIMB diwujudkan pada tahun 1997 bagi menggantikan Bank Islam sebagai syarikat pemegangan Kumpulan.
Langkah itu sekali gus menjadikan BIMB Holdings sebagai jentera penyenaraian Kumpulan.
Menurut BIMB Holdings, penyenaraian itu akan membolehkan Bank Islam berada pada posisi yang lebih baik dalam sektor kewangan dan pasaran Islam serta mengambil peluang terhadap pertumbuhan kedua-dua pasaran dalam usaha untuk memperluaskan asas pelanggannya.
Katanya, selain penyenaraian Bank Islam, empat komponen penyusunan semula BIMB Holdings melibatkan cadangan penempatan saham BHB baharu bagi mengumpul dana bernilai RM800 juta yang akan digunakan untuk penyelesaian penuh baki sukuk yang dipegang oleh Lembaga Tabung Haji.
Komponen lain ialah, imelaksanakan Skim Pengaturan (SOA) oleh BIMB Holdings untuk menyelesaikan waran yang belum lunas, penyusunan semula dalaman yang mana BIMB Holdings akan melupuskan kesemua pegangan ekuiti dalam subsidiari dagangan saham dan pemajakannya kepada Bank Islam untuk diselesaikan dalam bentuk tunai dan pengagihan dan pembayaran modal setelah memuktamadkan penempatan, SOA dan penyusunan dalaman. – MalaysiaGazette