Home Politik Muhyiddin nasihat Anwar, Azmin cari jalan penyelesaian segera

Muhyiddin nasihat Anwar, Azmin cari jalan penyelesaian segera

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada Majlis Pelepasan Konvoi Bantuan Pasca Bencana di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 11 DISEMBER 2019

PUTRAJAYA – Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihat agar kedua-dua pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali segera mencari jalan penyelesaian pendamaian.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( Bersatu) itu, pertelingkahan antara kedua-dua pemimpin tersebut walaupun tidak nyata, namun ia dapat dihidu rakyat.

“Terbaik adalah cari jalan penyelesaian lagi cepat lagi bagus kerana yang ditumpukan oleh rakyat sekarang adalah kerana kita komponen PH dalam kerajaan. Rakyat mahu melihat apa kerja kita. Bukan kerja kita bersengketa sesama sendiri.

“Itu tidak jadi minat rakyat dan membincangkan mereka kerana kita adalah kerajaan. Mereka harap apa yang kita boleh buat untuk bantu rakyat jelata isu soal ekonomi, kos sara hidup menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dan kemudahan kebajikan,” katanya kepada media selepas pelancaran bantuan pasca banjir oleh Angkatan Baru dan NGO, di perkarangan Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai nasihat beliau lepas Anwar dan Azmin.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Anwar dan Azmin perlu segera melupakan sengketa.

Malah katanya, ia jalan terbaik bagi mewujudkan kerjasama perpaduan antara kedua-dua pemimpin besar PKR itu.

“Sebaik mungkin lupakan sengketa dan cari jalan yang terbaik. Wujudkan jalan kerjasama perpaduan yang boleh bantu kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab rakyat dengan lebih berkesan,” katanya lagi.

Anwar dan Azmin mula dilihat tidak ‘sebulu’ apabila Azmin bertindak tidak hadir pada hari terakhir Kongres Nasional PKR, di Melaka baru-baru ini.

Malah Azmin dalam satu acara di Hotel Reinassance, mempertikaikan tindakan Anwar menggunakan sejarah Si Kitol dan Raja Mendelia ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2019.

Azmin berkata, beliau kesal kerana setelah 20 tahun berada dalam perjuangan parti, akhirnya kini digelar pengkhianat. -MalaysiaGazette