Home Politik Anwar tak perlu layan tuntutan Mohd Nazree

Anwar tak perlu layan tuntutan Mohd Nazree

Syed Badli Shah Syed Osman
Syed Badli Shah Syed Osman.

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim melayan gesaan Naib Ketua AMK Malaysia, Mohd Nazree Yunus yang menuntut Presiden PKR memberi penjelasan berkaitan kes video lucah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Seorang lagi Naib Ketua AMK Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, individu yang perlu tampil memberi penjelasan, membela diri dan menepis fitnah tersebut adalah pemimpin yang terkait dengan video tular berkenaan.

“Nazree sepatutnya menasihati pemimpin terbabit untuk tampil membela diri dan membersihkan namanya. Bukan sekadar berceramah retorik tanpa sebarang tindakan.

“Gesaan itu timbul apabila Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin secara terbuka mengkritik Anwar dalam penceritaan kisah video lucah yang tular itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Badli Shah berpandangan Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang telah melebihi batas etika seorang pemimpin apabila secara terbuka menyerang presiden dan memboikot kongres nasional parti.

“Tindakan beliau (Zuraida) ibarat seperti duri dalam daging kepada Parti Keadilan Rakyat.

“Justeru itu saya menyokong saranan Ketua Penerangan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin supaya biro disiplin mengambil tindakan tegas terhadap Zuraida,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pandangan Zuraida ada asas – Naib Ketua AMK