KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) masih menjadi kelab paling popular di negara ini walaupun mencatat prestasi tidak menentu musim ini.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan, ia berdasarkan beberapa pengiktirafan yang diperoleh skuad Harimau Selatan itu termasuk daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Selain itu, jelas Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), JDT kini diikuti oleh 1.7 juta peminat dan jumlah itu semakin meningkat.
“Saya hairan dengan ramai penyokong Johor yang masih merungut, seolah-olah mereka selalu memenangi kejuaraan sejak 24 tahun yang lalu.
“Apakah akan terjadi jika Johor tidak memenangi sebarang piala tahun ini? Apakah akan terjadi jika Johor tidak memenangi sebarang piala untuk dua tahun akan datang? Tiga tahun? Empat tahun? Saya tidak peduli.
“Saya masih akan memakai warna Johor dengan rasa bangga, saya masih mahu berada di belakang kelab.
“Pada penghujungnya, kami masih kelab yang paling popular di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun rasmi Facebook JDT, Johor Southern Tigers.
TMJ menuntut penyokong untuk mengubah mentaliti dan tidak terpengaruh dengan tanggapan negatif pihak lain khususnya yang disebarkan di laman sosial.
“Anda tidak menghargai pencapaian dan kemajuan kelab. Anda lebih berminat untuk melayan orang yang bercakap benda negatif mengenai kelab di laman sosial.
“Oleh kerana mental anda tidak kuat, ia membuatkan anda kecewa dan marah apabila anda tewas. Itulah realitinya.
“Itu adalah mentaliti yang perlu anda ubah… bertukar menjadi penyokong bola sepak yang matang dan terus menyokong pasukan anda. Pasukan anda adalah pasukan paling terkenal di Asia Tenggara dan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette