KUANTAN – Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu kenyataan perbalahan dalaman parti dihentikan disifatkan dapat mengelakkan pihak yang tidak terlibat daripada terus mengeluarkan kenyataan.
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau bersetuju dengan gesaan Anwar supaya semua pimpinan dan anggota parti menggunakan saluran dalaman untuk mengemukakan pandangan kerana melihat ia dapat ‘menenangkan keadaan’.
“Saya setuju kerana bila saya diajukan soalan, saya juga mengatakan bahawa presiden saya memerlukan masa untuk bertenang …jadi elok lah untuk semua orang juga bertenang.
“Pihak yang tidak terlibat dan tidak ada direct penglibatan dengan parti juga tak payah komen dan jika mereka masih mengeluarkan komen bermakna mereka mempunyai kepentingan sendiri,” katanya.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Rumah Mampu Milik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sini hari ini.
Semalam, Anwar menerusi kenyataan medianya menggesa anggota PKR menghentikan perbalahan dalaman dengan serta-merta dan menambah, rakyat yang meletakkan kepercayaan kepada mereka sudah bosan dengan kenyataan sedemikian.
Semasa ditanya jika beliau akan menggunakan saluran parti termasuk Lembaga Disiplin untuk menyuarakan pandangan, Zuraida menjawab :”Saya tidak akan bersuara, saya menunggu mereka memanggil saya.” – Bernama