Home Nasional Saman Sarawak Report: Sultanah Terengganu tidak perlu beri keterangan

Saman Sarawak Report: Sultanah Terengganu tidak perlu beri keterangan

Sultanah Nur Zahirah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah supaya baginda tidak perlu memberikan keterangan dalam kes saman dikemukakan terhadap pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan permohonan Sultanah Nur Zahirah mengikut Aturan 14A Perintah Mahkamah 2012, iaitu supaya kes saman itu diputuskan melalui isu undang-undang.

Hakim Ahmad Zaidi berkata, kes saman itu juga akan diputuskan melalui keterangan defendan iaitu Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.

“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 20 Jan depan sebagai tarikh pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita, peguam Sultanah Nur Zahirah, Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah berkata, dengan keputusan itu, anak guamnya tidak perlu hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan.

“Permohonan tersebut adalah bahagian utama perbicaraan itu dikeluarkan, yang dibenarkan. Pihak defendan sekarang perlu hadir ke mahkamah dan ia adalah terbuka untuk mereka menyatakan pembelaan mereka yang tersedia di bawah undang-undang.

“Plaintif telah difitnah dan unsur fitnah telah dibuktikan oleh plaintif,” katanya.

Sultanah Nur Zahirah, selaku plaintif memfailkan permohonan agar kes saman fitnahnya itu ditentukan melalui penghakiman terus pada 27 Mei lepas, di bawah Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Pada 24 Oktober, peguam Americk Singh Sidhu, yang mewakili Rewcastle Brown berhujah anak guamnya mahu kes saman itu diputuskan melalui perbicaraan penuh supaya dia boleh memanggil pakar bahasa untuk memberi keterangan.

“Ini adalah persoalan menggunakan tatabahasa dan tafsiran tatabahasa…itulah sebabnya kami mahu memanggil pakar bahasa dari Universiti Oxford, United Kingdom untuk menganalisis ayat-ayat itu,” katanya.

Pada 21 November tahun lepas, Sultanah Nur Zahirah, memfailkan saman terhadap Rewcastle Brown atau Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin, serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd, sebagai defendan pertama hingga ketiga mendakwa defendan pertama telah membuat kenyataan fitnah dalam buku, The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran negeri Terengganu serta menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Plaintif juga mendakwa kenyataan itu mentafsirkan plaintif sebagai menolong Jho Low atau Low Taek Jho bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat di TIA.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa kenyataan itu adalah fitnah kerana plaintif tidak pernah melibatkan diri dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri dan penubuhan TIA selain mendakwa kenyataan itu memalukan serta menjatuhkan reputasi plaintif pada pandangan masyarakat.

Plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga menghentikan pencetakan lanjut salinan buku berkenaan.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan plaintif terlibat dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak mencadangkan plaintif terlibat dalam pentadbiran kerajaan dalam urusan 1MDB. – Bernama

1 Komen

Comments are closed.