KUALA LUMPUR – Pegawai Rendah Kanan, Muhammad Hifzanuddin Mohd Shahiman, 18, diangkat sebagai pelajar keseluruhan terbaik Anugerah Menteri Pertahanan dalam pengajian selama dua tahun ini di Maktab Tentera Diraja, Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Mengikut jejak langkah bapanya yang juga merupakan bekas Putera MTD tahun 1992 hingga tahun 1993 menjadi pencetus semangat kepadanya untuk turut mencapai kecemerlangan dalam akademik di MTD.
“Saya sangat gembira sebab dapat mencapai hadiah paling tinggi iaitu Anugerah Menteri Pertahanan. Sebenarnya saya menuntut bersungguh-sungguh dengan menyasarkan hadiah tertinggi ini sejak tahun lalu.
“Motivasi daripada bapa saya yang juga merupakan bekas putera MTD, yang mana gambar-gambar pencapaian lama beliau masih disimpan sebagai memori indah untuk kami sekeluarga mencetuskan semangat dan minat saya menyertai maktab ini.
“Dengan kerjasama bantuan Kompeni Major Khairi dan semua jurulatih bertanggungjawab sehingga mencapai tahap tinggi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian anugerah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong pagi ini.
Ditanya mengenai sumbangan ibu bapanya Mohd Shahiman Sulaiman dan ibunya Sri Suriani Muhammad Syahir, kata anak kedua daripada empat adik beradik itu, sikap mengambil berat ibu bapa yang sentiasa melawat dan membekalkan masakan beserta bimbingan tentang akademik banyak membantunya.
“Bapa saya pernah berkongsi input untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan suasana maktab dan akademik di sini dan itulah pembakar semangat dan motivasi saya untuk berjaya hari ini dan kini menjadi giliran saya membalas dengan amanat bagi membanggakan mereka kembali,” katanya.
Berasal dari Bandar Bukit Puchong dan menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Puchong UTama 2 dan SMK Puchong Utama 1 berbekalkan 7A dalam PT3 dua tahun lalu, Muhammad Hifzanuddin bercita-cita mahu menjadi seorang pakar jurutera robotik.
Dia juga berhasrat untuk meneruskan pengajian di Universiti awam khususnya Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bapanya yang merupakan Pengarah Kanan Penyelidikan dan Pembangunan MIMOS Berhad, Mohd Shahiman Sulaiman berkata, beliau dan isterinya tidak memaksa anaknya dalam menentukan masa depannya sebaliknya menyerahkan kepada anak itu bagi menetapkan hala tuju hidupnya.
“Dia jenis yang lurus dan disiplin dari segi keperibadiannya dan sentiasa fokus dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab dan tidak akan berganjak selagi tidak menyelesaikan sesuatu perkara yang diamanatkan kepadanya.
“Saya membiarkan kepada dia sendiri menentukan masa depannya kerana kami ibu bapa tidak mahu mencampurinya kerana selama ini kami sudah melaksanakan tanggungjawab kami sebagai ibu bapa, kini giliran dia untuk mencorak masa depan sendiri yang cerah dan terjamin,” kata Mohd Shahiman.-MalaysiaGazette