Home Dunia CFDT setuju mogok dihentikan menjelang Krismas

CFDT setuju mogok dihentikan menjelang Krismas

Orang ramai menunggu tren di Gare du Nord ketika mogok yang dilancarkan oleh semua kesatuan kakitangan kereta api Perancis. foto Agensi

PARIS – Kesatuan Persekutuan Buruh Demokratik Perancis (CFDT) bersedia menimbang semula tindakan mogok oleh kakitangan pengangkutan sepanjang tempoh Krismas.

Bagaimanapun, CFDT akan mengemukakan tindakan baru pada bulan Januari jika kerajaan tidak menggugurkan cadangan pembaharuan pencen yang akan menggalakkan kerja lebih lama, kata pemimpinnya.

Dalam pembaharuan skim pencennya, kerajaan Perancis mencadangkan pekerja yang bekerja dua tahun lebih sahaja yang layak mendapat pencen penuh.

CFDT tidak terlibat dalam mogok yang telah menyebabkan gangguan perjalanan di seluruh negara sejak 5 Disember lalu.

“Biar diperjelaskan. Kakitangan kereta api CFDT tidak mahu ada gangguan sepanjang cuti. Tetapi pada bulan Januari, tidak ada perubahan, CFDT akan meneruskan gerakan,” kata Setiausaha Agungnya, Laurent Berger.

Sebaliknya, kesatuan CGT berkeras pada hari Khamis memberi amaran bahawa tidak akan ada pengecualian untuk Krismas melainkan jika kerajaan menarik balik keseluruhan rancangan pembaharuan pencen.

Perdana Menteri, Edouard Philippe memberitahu Le Parisien Dimanche beliau akan bertemu kesatuan minggu depan dan meminta semua orang untuk bertanggungjawab menjelang Krismas.

Menteri Ekonomi Junior, Agnes Pannier-Runacher berkata, cadangan untuk menggalakkan orang ramai bekerja sehingga 64 melalui sistem bonus dan diskaun masih boleh dirundingkan.

Para peruncit dan hotel telah memberi amaran bahawa perayaan Krismas tahun ini akan terjejas teruk jika mogok kakitangan pengangkutan berterusan. – MalaysiaGazette