Home Politik PH buat U-Turn bila cadang kecilkan saiz penjawat awam

PH buat U-Turn bila cadang kecilkan saiz penjawat awam

Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 23 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sehingga 5 peratus membuktikan dakwaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini berasas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan keputusan itu sebagai satu lagi tindakan pusingan U yang dinafikan oleh pentadbiran Malaysia Baru hari ini.

“Akhirnya kerajaan PH U-turn lagi. Dulu bila BN kata kerajaan PH bakal kurangkan penjawat awam, PH kata kita fitnah.

“Semalam apa pula cerita Timbalan Menteri JPM, Mohamed Hanipa Maidin? 5 peratus perjawatan awam akan dikurangkan?

“Hanipa telah membuktikan bahawa kenyataan BN adalah benar,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, semalam.

Jumaat lalu, Timbalan Menteri Undang-undang itu mendedahkan Putrajaya merancang mengurangkan perjawatan awam sebanyak lima peratus sehingga 2021.

Setakat suku ketiga 2019, jumlah keseluruhan perjawatan perkhidmatan awam seramai 1.7 juta dengan peratus pengisian sebanyak 91.26 peratus.

Ia bersamaan dengan 1.57 juta orang merangkumi perkhidmatan awam persekutuan, badan berkanun persekutuan, perkhidmatan awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Daripada jumlah itu, 62 peratus merupakan perjawatan di sektor kesihatan, pendidikan, tentera dan polis.

Ismail Sabri juga mendakwa, hasrat itu timbul susulan pimpinan PH sebelum ini kerap kali menuduh penjawat awam tidak setia dan masih setia kepada kerajaan lama.

“Apakah pengurangan penjawat awam sebagai balas dendam kepada mereka?

“Sebelum ini kenyataan dari Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam mengatakan bahawa mulai 2020 mungkin tiada lagi pengambilan baru kakitangan awam tetap dan berpencen.

“Alangkah malangnya penjawat awam hari ini yang majoriti mereka adalah orang Melayu/Bumiputera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette