Home Seni Hidup Kisah Thaqif tidak patut berlaku, cemar institusi tahfiz – Afdlin Shauki

Kisah Thaqif tidak patut berlaku, cemar institusi tahfiz – Afdlin Shauki

Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR – Insiden yang menimpa Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi telah mencemar institusi tahfiz pada pandangan mata ibubapa.

Pengarah Filem, Afdlin Shauki berkata, ia merupakan suatu perkara yang tidak wajar berlaku di sebuah pusat yang mendidik kanak-kanak tentang agama dan al-Quran.

“Jangan kita memperburuk-burukkan tahfiz pasal kalau sekarang ini kita buat budak tahfiz kena pukul, perkataan tahfiz itu akan jatuh ke kategori yang negatif kepada ramai orang.

“Tetapi apa yang berlaku kepada anak itu (Mohamad Thaqif) kerana ia melibatkan kepercayaan ibu bapa yang hantar anak mereka ke tahfiz untuk menjadi seorang yang boleh menghafaz al-Quran.

“Apa perlunya kanak-kanak itu diperlakukan semacam itu. Orang yang peranggainya jahat sekalipun tidaklah dipukul sampai macam itu. Inikan budak yang nakalnya macam mana saja,” katanya yang dipetik dari rakaman video disebuah laman portal.

Menurut selebriti terkenal itu, kejadian yang menimpa Allahyarham tidak sepatutnya berlaku di negara ini yang sememangnya mencanangkan kehidupan secara Islam.

Katanya lagi, ia juga telah meninggalkan persepsi yang tidak baik terhadap agama Islam kepada masyarakat bukan Islam.

Mengulas lanjut Afdlin berkata, sistem pendidikan tahfiz di Malaysia memerlukan pembaharuan bukan sahaja dari segi pengambilan tenaga pengajar dan kakitangan lain, sukatan pelajaran juga perlu diseragamkan.

“Perketatkan pemantauan bagi guru dan warden, perlu ada pemeriksaan latar belakang, dan biarlah mereka ini walaupun tegas, tetapi sayang dan sukakan kanak-kanak.

“Sukatan pelajaran pula perlu `standard’, sama ada (hafazan) al-Quran dan subjek lain. Mungkin ulama dan pakar agama boleh menentukannya, atau jabatan agama, agar apa yang diajar betul dan tiada unsur ajaran sesat,” ujarnya.

Kisah Mohamad Thaqif menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul dengan paip getah oleh pembantu warden di Madrasah Tahfiz Al-Jauhar di Kampung Lukut, Kota Tinggi.

Bermula penahanan lelaki berusia 29 tahun yang memiliki rekod jenayah lampau, seterusnya kedua-dua kaki Thaqif terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman sehinggalah kematiannya pada 2.06 petang Rabu lalu.

Pemergian pelajar berusia 11 tahun itu menambahkan lagi kemarahan orang ramai, dan tidak kurang juga yang mendesak semua sekolah tahfiz tidak berdaftar ditutup. – MalaysiaGazette