Home Politik Dulu Otai Reformis maki Anwar, sekarang pertahan pula?

Dulu Otai Reformis maki Anwar, sekarang pertahan pula?

Amirudin Shari

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempertikaikan tindakan Otai Reformis 98 yang mendesak sekumpulan pemimpin PKR termasuk dirinya dikenakan tindakan tegas oleh parti.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Selangor menyifatkan tindakan tersebut ironi apabila sebelum ini sebahagian aktivis NGO itu pernah dipecat daripada parti kerana bertindak memaki hamun Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun kini ujarnya, NGO itu mempertahankan mempertahankan presiden parti tersebut.

“Terpulang, masing-masing boleh menilai. Sebahagian mereka itu (Otai Reformis) pernah dipecat kerana mencerca dan memaki hamun Anwar dan orang itu pula hendak membela (Anwar), tahniahlah,” sindirnya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku My First Year Journey: From Tv News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor di Pustaka Raja Tun Uda hari ini.

Amirudin adalah salah seorang enam pemimpin PKR yang disenaraikan oleh Otai Reformis 98 dalam memorandum yang dihantar ke ibu pejabat parti itu baru-baru ini.

Selain beliau yang didakwa melanggar disiplin apabila mengaibkan Anwar dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di sebuah hotel di ibu negara baru-baru ini adalah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dua Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua;

Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha, Timbalan Ketua Angkatan Muda (AMK) Nasional, Muhammad Hilman Idham dan Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin.

Kesemua mereka berdasarkan memorandum yang dihantar oleh NGO itu telah bersikap biadab, ingkar dan menghina Anwar.

Tambah Amirudin lagi, Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 hanyalah ‘acara makan-makan’ dan tidak melanggar etika disiplin parti.

“Majlis itu makan, tidak akanlah makan salah,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Otai Reformis desak PKR pecat Zuraida