Home Nasional Guan Eng perlekeh kurikulum, kemampuan guru

Guan Eng perlekeh kurikulum, kemampuan guru

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa pengajaran tulisan Jawi di sekolah sekadar pengenalan terhadap suatu sistem bahasa disifatkan memperlekeh keupayaan kurikulum serta kemampuan guru.

Perkara itu ditegaskan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri.

Beliau berkata, silibus tulisan Jawi yang dimuatkan sebanyak tiga muka surat itu penting bagi memperkenalkan nilai-nilai bahasa Melayu dan identiti negara kepada anak watan daripada pelbagai kaum.

“Daripada tiga muka surat tersebut, hanya 14 huruf daripada 37 huruf sahaja yang diperkenalkan, dengan diulang-ulang penggunaannya sehingga lapan kali menerusi tujuh perkataan sahaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dilaporkan berkata, pengajaran tulisan Jawi sepanjang tiga halaman di sekolah cuma pengenalan terhadap suatu sistem bahasa.

Menurut Guan Eng, sekiranya seseorang pelajar dapat mempelajari Jawi hanya dengan tiga muka surat mereka boleh dianggap sebagai seorang yang pintass.

Malah katanya, mata pelajaran Jawi itu tidak wajib dan akan diputuskan oleh ibu bapa.

“Jika ibu bapa tidak mahu, okay, kami tidak akan memperkenalkannya,” katanya.

Guan Eng turut membuat persamaan tulisan jawi dengan tulisan purba Cina iaitu Jiaguwen.

Menempelak perkara itu, Khairuddin berkata, murid-murid akan mudah untuk memahami dan menghayati objektif pengajaran tulisan Jawi melalui pengajaran dan pemudahcaraan yang berkesan oleh guru.

Ujarnya, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi adalah jauh berbeza jika dibandingkan dengan tulisan Cina yang mempunyai jumlah sehingga ribuan huruf dan murid perlu mengetahui sekurang-kurangnya 500 huruf untuk membaca bahan bacaan umum.

Tambah beliau, murid-murid juga perlu mengenali sehingga 3,386 huruf untuk membaca dan menulis dengan baik dalam bahasa Mandarin.

“Malah, murid-murid juga perlu menguasai beberapa nada bagi membezakan makna bagi setiap perkataan. Justeru, memanglah ia memerlukan kurikulum yang lengkap dan tempoh masa yang panjang untuk menguasainya.

“Sekiranya Guan Eng tulus mahu membela tulisan jawi, sepatutnya beliau menggunakan kedudukan dan pengaruh beliau untuk memastikan Dong Jiao Zong membatalkan perhimpunan bertujuan membantah tulisan jawi yang dijadualkan pada 28 Disember nanti,” katanya. – MalaysiaGazette