Home Ekonomi Jawatankuasa MA63 tidak bincang beli Petronas

Jawatankuasa MA63 tidak bincang beli Petronas

KUCHING- Pejabat Ketua Menteri (CMO) Sarawak menafikan berita mengenai pembelian kepentingan dalam PETRONAS ada dibincangkan oleh Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebaliknya, jelas CMO, hanya perkara-perkara membabitkan minyak dan gas yang disentuh dalam satu pertemuan berasingan antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Penjelasan itu adalah untuk menjawab kenyataan oleh Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna yang mengatakan Abang Johari, menerusi satu mesyuarat jawatankuasa itu telah bersetuju secara dasarnya untuk membeli kepentingan dalam PETRONAS.

“Sehubungan itu, Timbalan Menteri itu tidak mempunyai sebarang ‘privy’ (bahagian) terhadap maklumat terperinci berhubung isu-isu terbitan saham minyak dan gas serta tiada kuasa untuk mendedahkan mana-mana maklumat mengenai perbincangan sedemikian, jika ada.

“Malah, perlu diambil kira juga bahawa pembelian kepentingan dalam anak syarikat PETRONAS tidak boleh disamakan dengan pembelian serupa dalam PETRONAS sebagai syarikat induk,” kata CMO.

Menurutnya, Sarawak memiliki kepentingan dalam anak-anak syarikat gas asli cecair dan adalah rakan ekuiti dalam Shell MDS Sdn Bhd.

“Setakat hari ini, tiada sebarang tawaran membabitkan PETRONAS itu,” katanya.

Chong mendakwa Ketua Menteri sebelum ini, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem juga berpendapat bahawa kerajaan negeri itu wajar membeli kepentingan dalam PETRONAS.

“Malangnya, pada masa itu, Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional, enggan menjual bahagian kepentingannya dalam PETRONAS kepada kerajaan negeri Sarawak kerana mahu memiliki semua dividen dan pulangan PETRONAS yang menguntungkan untuk pemegang sahamnya,” kata beliau. – BERNAMA