Home Utama Orang muda perlu terlibat dalam proses membuat keputusan – Syed Saddiq

Orang muda perlu terlibat dalam proses membuat keputusan – Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Dunia Islam perlu mendengar suara anak-anak muda dan melibatkan mereka secara aktif dalam proses membuat keputusan kerana mereka yang akan mewarisi masa hadapan,” kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam ucapannya pada pembukaan Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini, beliau berkata sejarah dunia Islam menunjukkan ramai individu muda apabila diamanahkan dengan peluang dan kedudukan kepimpinan akhirnya mencipta sejarah.

“Tidak cukup untuk mengatakan bahawa kita mendengar anda (golongan muda) tetapi tidak memberi peluang anda bersuara dalam proses membuat keputusan. Tidak cukup untuk mengatakan bahawa kepentingan anda akan dijaga tetapi hakikatnya, apabila anda melihat mereka yang berada dalam kedudukan kepimpinan semuanya berumur 50 atau 60 tahun,” katanya.

Syed Saddiq berkata orang muda mempunyai perspektif segar untuk dibawa ke perbincangan (membuat keputusan) bagi memastikan suara masyarakat didengari.

“Mereka tidak mahu berada hanya semasa sesi dialog, mereka mahu berada dalam proses membuat keputusan,” kata menteri itu.

Sidang Kemuncak Belia Kuala Lumpur itu merupakan permulaan kepada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diadakan bermula esok hingga Sabtu.

Syed Saddiq berpendapat meletakkan lebih ramai orang muda dalam barisan kepimpinan adalah selaras dengan kepelbagaian kepimpinan yang diperlukan, terutamanya dalam dunia Islam.

Beliau juga bercakap tentang kepercayaannya bahawa negara yang gagal mendengar suara anak muda adalah negara yang tidak dapat membuktikan masa hadapannya sendiri.

Menteri itu juga menegaskan bahawa protes yang dilihat banyak berlaku di beberapa tempat di dunia timbul daripada kebimbangan terhadap isu seperti ekonomi dan pekerjaan – perkara yang memberi kesan secara langsung kepada golongan muda.

Orang muda katanya, mengambil langkah untuk meneruskan perubahan dan memastikan kemajuan yang besar dapat dicapai selama beberapa dekad akan datang.

“Jika tidak ditangani dengan baik, mereka juga boleh menjadi punca sesebuah negara mengalami krisis. Jadi, saya sentiasa percaya golongan belia ini boleh menjadi seperti ‘pedang bermata dua’,” katanya dan menggariskan keperluan untuk memastikan bahawa ‘hujung pedang itu adalah aset bukannya liabiliti’.

Syed Saddiq turut mengambil peluang untuk mengingatkan kerajaan Islam supaya memberi ruang kepada golongan muda mereka.

“Perlu ada isyarat kolektif dalam dunia Islam bahawa perkara ini mesti dilakukan, yang mana suara kita perlu didengari, suara kita tidak boleh diabaikan atau diketepikan.

“Mereka yang mengetepikan suara ini adalah orang yang mungkin gagal manakala pihak yang mendengar adalah golongan yang berjaya,” katanya.

— BERNAMA