WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengakui beliau lebih suka menjalani kehidupan dahulu kerana pada masa sekarang terlalu banyak perkara perlu dilakukan.
“Sekarang lebih banyak kerja perlu dilakukan. Saya ingat ia lebih mudah,” katanya dalam wawancara sempena 100 hari pertama pemerintahannya.
Ahli perniagaan kaya dari New York itu memasuki White House pada 20 Januari lalu selepas dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat selepas mengalahkan Hillary Clinton.
Trump yang mengakui tidak mempunyai privasi pada kehidupan lalu, melahirkan rasa terkejut dengan layanan yang diperoleh sekarang.
Beliau semakin selesa dengan perlindungan daripada Perkhidmatan Rahsia dan peraturan yang perlu dipatuhi.
“Saya kini betul-betul dalam kepompong sendiri dengan perlindungan yang diberikan, tidak boleh pergi ke mana-mana,” katanya.
Pada kebiasaannya apabila meninggalkan White House, beliau akan berada dalam limosin atau SUV menyebabkan Trump rindu untuk memandu sendiri.
“Saya suka memandu. Sekarang saya tidak boleh memandu,” ujarnya. – MalaysiaGazette