KUALA LUMPUR – Penutupan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) patut disokong sekiranya ia dapat membantu industri penerbangan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes lagi, sekiranya langkah tersebut akan dapat meningkatkan kecekapan industri penerbangan dalam masa yang sama akan dapat memberi kesan positif pada aspek pengurangan kos maka keputusan tersebut patut mendapat sokongan.
Bagaimanapun, ia terpulang kepada kerajaan untuk mengambil langkah terbaik dan tepat bagi tujuan meningkatan industri penerbangan dalam negara.
“Apa juga yang dilakukan oleh kerajaan dapat industri penerbangan, kurangkan kos, tingkatkan tahap kecekapan, saya sokong.
“Jika dengan penutupan MAVCOM untuk kurangkan kos dan gabungkannya dilihat akan dapat membuat industri penerbangan lebih efisyen, kurangkan bayaran, kita patut sokong ia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Air Asia Deals di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk membubarkan MAVCOM.
Kementerian Pengangkutan terdahulu menjelaskan bahawa fungsi utama agensi berkenaan dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Langkah rasionalisasi itu bertujuan mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan sedia ada bagi kedua-dua badan kawal selia penerbangan awam negara itu.
Sehingga kini, MAVCOM masih boleh beroperasi secara berasingan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan lagi sebelum penggabungannya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Untuk rekod, MAVCOM merupakan badan bebas ditubuhkan pada 1 Mac 2016, di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 bagi mengawal selia hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan dengan penerbangan awam.
Matlamat suruhanjaya itu adalah untuk menggalakkan industri yang berdaya maju dari segi komersial, berorientasikan pengguna dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara. -MalaysiaGazette