KUALA LUMPUR – ‘Sophia’, robot humanoid sosial, yang akan muncul di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019, hari ini mendapat perhatian khusus daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pemimpin berumur 94 tahun itu semasa melawat venue sidang berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di tengah ibukota bagi meninjau persiapan Sidang Kemuncak KL 2019 memberi komen mengenai ‘satu perkara’ yang masih kurang pada robot itu, dari segi persiapan secara keseluruhannya.
“Persiapan nampak bagus saya puas hati, saya fikir cara-cara yang diatur itu pun baik.
“Tinggal lagi satu sahaja, pasal kita punya Sophia itu nampak macam kepala botak, jadi mungkin ada rambutlah sikit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menamatkan lawatannya.
Majlis perasmian Sidang Kemuncak KL yang akan berlangsung mulai esok sehingga Sabtu ini, dijangka akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu Naib Presiden Kanan bagi bahagian latihan dan projek-projek khas Serba Dinamik Dr Mohamed Ackiel Mohamed berkata robot yang dikenali dengan keupayaan mempamerkan ekspresi wajah seperti manusia dan berinteraksi dengan orang ramai itu dibawa oleh syarikat berkenaan atas permintaan Dr Mahathir sendiri.
Beliau memberitahu Bernama robot itu akan membuat penampilan dan menyampaikan kata-kata aluan kepada semua delegasi sebaik sahaja selepas majlis perasmian berlangsung, Khamis.
“Selepas itu ia akan dipamerkan di ruang pameran di booth Serba Dinamik sehingga sidang kemuncak ini tamat,” katanya.
Sidang kemuncak ini bertujuan untuk berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang baharu serta berkesan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang menimpa dunia Islam, di samping menyumbang ke arah meningkatkan kesejahteraan umat Islam serta negara-negara Islam secara umumnya.
Ia juga bertujuan membawa pemimpin-pemimpin Muslim, cendekiawan, serta ulama dari seluruh dunia, den menghidupkan kembali tamadun Islam.- BERNAMA