KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak pernah meluluskan SRC International Sdn Bhd menggunakan RM2 bilion.
Beliau berkata demikian menyangkal keterangan saksi sebelum ini iaitu bekas Pengerusi Lembaga Pengarah SRC, Tan Sri Ismee Ismail yang mengatakan dana berbilion ringgit yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) digunakan atas kelulusannya.
“Tidak, tidak. Saya tidak bersetuju. Saya tidak meluluskannya,” katanya kepada Mahkamah Tinggi hari ini.
Jelas bekas perdana menteri itu, urusan sedemikian di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan Diperbadankan manakala peranannya dalam SRC pula sekadar memberikan nasihat berkenaan isu strategik sekiranya diperlukan.
Bagaimanapun menurut Najib, perkara seperti penggunaan dana atau pindahan wang syarikat hanya akan diketahuinya sekiranya sekiranya ahli lembaga pengarah sendiri memaklumkan kepadanya.
“Saya tidak terlibat dalam perkara-perkara operasi kerana saya menjaga negara,” katanya lagi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram merujuk kepada pindahan RM2 bilion daripada akaun syarikat itu.
Najib turut menegaskan beliau tidak terlibat dalam hal operasi SRC termasuklah RM40 juta yang dipindahkan daripada SRC International kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd pada tahun 2014.
“Saya tidak tahu. Terpulang kepada pihak pengurusan (SRC). Tanyalah mereka (pihak pengurusan),” katanya lagi sebelum perbicaraan hari ke-64 hari ini ditangguh hari esok.
Dalam pada itu, Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa pasukan pembelaan Najib akan memanggil saksi baharu pada perbicaraan pada sesi tahun depan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Harvinderjit Singh kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali tanpa mendedahkan nama identiti saksi terbaru itu.- MalaysiaGazette