PORT DICKSON – Bagi peminat aktiviti mendaki, populariti Bukit Batu Putih di sini seringkali diperkatakan dan menjadi sebutan ramai.
Sekiranya anda memandu dari Kuala Lumpur, perjalanan secara santai hanya mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit untuk tiba di pintu gerbang Hutan Rekreasi Tanjung Tuan.
Namun sebelum melangkah masuk, bayaran masuk RM1 dikenakan dalam usaha menjaga penyelenggaraan fasiliti yang disediakan di dalam hutan berkenaan.
Di awal pendakian, laluan bermula di jalan yang bertar dan agak menegak. Bagi yang pertama mendaki, usah risau kerana terdapat beberapa pondok disediakan bagi menghilangkan penat dan lelah.
Tanpa menunggu lama, antara 10 hingga 15 minit mendaki dengan kelajuan sederhana, anda akan tiba di papan tanda Bukit Batu Putih.
Memasuki lalu hutan, anda bakal menikmati suasana unik pokok besar dengan akar yang berbelit-belit kelihatan seperti ular.
Tidak sampai 10 minit pendakian, anda akan tiba di kawasan yaang menyediakan fasiliti seperti tali untuk memudahkan pendaki memanjat batuan besar hingga tiba ke puncak.
Sebaik tiba di puncak, kepenatan yang tidak seberapa itu terus hilang gara-gara pemandangan alam semula jadi yang sangat menakjubkan dan mempersonakan.
Tenang dan damai, itu luahan yang tepat sambil melihat laut Selat Melaka yang terdampar luas di depan mata.
Namun anda perlu memperuntukkan masa yang singkat di puncak bagi memberi peluang kepada pendaki lain akibat keluasan kawasan puncak yang terhad.
Malah sikap toleransasi perlu diamalkan di kalangan pendaki untuk mengambil gambar kenangan kerana perlu mengikut giliran bagi mendapat pemandangan tertentu yang cantik.
Selepas keluar dari kawasan hutan, pendaki boleh meneruskan perjalanan ke ke Rumah Api Tanjung Tuan (Cape Rachado) sebagai tempat persinggahan sementara.
Alang-alang sudah sampai, anda hanya perlu menaiki tangga dan mengelilingi luar rumah api itu sambil menyaksikan pemandangan menarik termasuk air berpusar di tengah lautan
Di ruang angkasa pula, kelibat burung helang terbang bebas dan ia menjadi faktor utama kenapa acara ‘Raptor Watch’ berlangsung di lokasi ini setiap tahun.
Selepas itu, anda boleh meneruskan perjalanan menuju ke pantai untuk melihat lokasi persinggahan burung yang berehat seketika sebelum terbang ke tempat lain.
Bagi yang ingin ke Bukit Batu Putih, anda juga boleh menginap di PNB Ilham Resort yang terletak bersebelahan pintu gerbang Hutan Rekreasi Tanjung Tuan.
Lebih mudah, anda bermalam di situ sebelum memulakan pendakian pada awal pagi keesokan harinya.
Bagi yang membawa keluarga, PNB Ilham Resort ini sangat sesuai untuk bercuti dalam kapasiti yang ramai kerana menawarkan penginapan berkonsepkan apartmen.
Lebih menarik, selepas mendaki, anda boleh terjun ke kolam renang untuk meregangkan urat dan otot untuk kembali ke kondisi asal.
Malah PNB Ilham Resort ini juga cukup terkenal dengan program dan kursus ‘team buiding selain seminar di kalangan agensi kerajaan dan swasta.
Apa pun, aktiviti riadah mendaki ini bukan sahaja dapat mengeluarkan peluh selain tempoh yang singkat, bahkan berbaloi apabila berpeluang menyaksikan keunikan tersembunyi di negeri ini. – MalaysiaGazette
Hebat terbaik!