Home Nasional Gaji minimum RM1,200 di bandar-bandar utama mulai tahun depan

Gaji minimum RM1,200 di bandar-bandar utama mulai tahun depan

KUALA LUMPUR – Kadar gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,200 sebulan di bandar-bandar utama di bawah pentadbiran 57 majlis bandar raya dan majlis perbandaran berkuatkuasa awal tahun depan seperti diputuskan oleh kerajaan.

Manakala kadar gaji minimum kekal pada RM1,100 sebulan bagi selain daripada wilayah bandar utama.

Kementerian Sumber Manusia hari ini mengesahkan kenaikan itu, tarikh kuat kuasa perintah gaji minimum baharu adalah mulai 1 Januari 2020 ke atas semua majikan.

Perintah tersebut akan diwartakan dalam masa terdekat.

“Pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di wilayah bandar-bandar utama dan RM1,100 sebulan selain daripada wilayah bandar-bandar utama adalah berdasarkan tempat kerja yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Kerja 1955 (Akta 265), Ordinan Buruh Sabah (Bab 67) dan Ordinan Buruh Sarawak (Bab 76) iaitu di mana-mana tempat kerja dijalankan untuk majikan oleh pekerja.

“Ini juga susulan pembentangan Bajet Tahun 2020 dan keputusan Jemaah Menteri pada 6 Dis lepas berhubung pelaksanaan gaji minimum RM1,200 sebulan di kawasan wilayah bandar-bandar utama,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kadar gaji minimum mengikut jam dan hari serta bagi pekerja yang dibayar mengikut upah ikut kerja, perjalanan, komisen, tan dan tugasan akan diperincikan dalam perintah gaji minimum yang baharu.

“Gaji minimum dikekalkan pemakaiannya kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali perkhidmat domestik sebagaimana dalam perintah gaji minimum 2018.

“Keputusan kerajaan meningkatkan gaji minimum bagi pekerja di wilayah bandar-bandar utama adalah bagi membantu pekerja di kawasan ini yang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Antara bandaraya utama yang terlibat termasuk Johor Bahru, Iskandar Puteri, Alor Setar, Melaka, Pulau Pinang, Seberang Perai, Ipoh, Shah Alam, Petaling Jaya, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Kuching Selatan, Miri, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

Manakala bandar utama ialah Batu Pahat, Kluang, Kulai, Muar, Segamat, Pasir Gudang, Kulim, Sungai Petani, Langkawi, Kubang Pasu dan Kota Bharu.

Turut tersenarai ialah bandar Alor Gajah, Jasin, Hang Tuah Jaya, Seremban, Nilai, Port Dickson, Jempol, Kuantan, Temerloh, Bentong, Manjung, Kuala Kangsar, Taiping, Teluk Intan, Kangar, Ampang Jaya, Kajang, Klang, Selayang, Subang Jaya, Sepang, Kemaman, Dungun, Padawan, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Sandakan, Tawau, Labuan dan Putrajaya.

Jelas Kementerian Sumber Manusia lagi, kadar gaji minimum akan terus disemak bagi memastikan ia sejajar dengan keperluan semasa dan juga selaras dengan hasrat untuk mencapai kadar gaji minimum RM1,500 sebulan dalam tempoh lima tahun pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. –MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Aikkkk hari tu sebelum PRU janji 1 juta pekerjaan utk orang muda & gaji minimum RM2,500! Kencing punya gomen

Comments are closed.