Home Nasional Amaran cuaca buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga esok

Amaran cuaca buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga esok

Sebuah motorsikal meredah air yang bertakung akibat hujan lebat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca buruk di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan, hujan lebat dijangka berterusan di Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan serta di Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu.

Sementara di Pahang melibatkan daerah Jerantut dan Kuantan.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Gua Musang di Kelantan serta Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu.

Hujan lebat juga dijangka berlaku di Lipis, Maran, Pekan dan Rompin di Pahang serta beberapa kawasan di Sabah meliputi pantai barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.- BERNAMA