KUALA LUMPUR – Agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.50 sen seunit bagi tahun kewangan 2019 adalah melepasi jangkaan pasaran.
Dengan keadaan prestasi negatif Bursa Malaysia dan kedudukan ekonomi dalam dan luar yang mencabar, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) sebenarnya telah memberi yang terbaik kepada 10 juta para pelabur ASB.
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dari Sekolah Perniagaan Putra berkata, kalau berdasarkan prestasi pasaran sekarang, logiknya ASB memang tidak mampu memberi dividen memandangkan lebih 90% pelaburan ASB adalah di dalam negara.
“Dengan hanya 7.5% pelaburan ASB di luar negara, memang sukar sebenarnya untuk ASB membuat agihan dividen dan bonus.
“Oleh itu, keupayaan ASB membayar dividen dan bonus sebanyak 5.50 sen seunit adalah sangat mengagumkan.
“Apatah lagi, dividen dan bonus ASB adalah daripada hasil keuntungan yang direalisasikan.
“Tambah-tambah lagi, ASB adalah unit amanah berharga tetap. Pada saya ASNB memang hebat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Penasihat Persatuan Penganalisa Teknikal Malaysia (MATA), Nazarry Rosli berkata, agihan pendapatan ASB sebanyak 5.50 sen seunit adalah sangat bagus.
Katanya, kalau pun ada membuat perbandingan agihan pendapatan pada tahun ini lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini, pelabur-pelabur ASB perlu realistik.
Pelabur perlu membuat perbandingan simpanan pelabur dengan instrumen harga tetap seperti kadar pulangan di bank.
Perbandingan juga perlu dibuat dengan pulangan pelabur ASB dengan prestasi indeks FBM KLCI.
“Pelabur yang realistik perlu tahu ASB bukan instrumen saham, bukan juga unit amanah kerana ia berharga tetap. Beli RM1, jual semula pun dapat RM1. Maknanya ia tidak mempunyai risiko.
“Kalau simpanan tetap di bank pun dapat 3%. Kalau dibuat perbandingan-perbandingan ini, maka pulangan ASB adalah lebih baik,” ujar beliau.
Penganalisis pasaran, Rusli Abu Yakim pula berkata, kemampuan dan keupayaan ASB membuat agihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit dalam kedudukan FBM KLCI yang negatif dan persekitaran yang mencabar dan getir cukup menarik sebenarnya.
Katanya, melihat peruntukan RM9 bilion yang disediakan untuk diagihkan kepada 10 juta pelabur ASB itu pun sudah membuktikan kemampuan dana itu bukan calang-calang.
“Peruntukan yang besar, dan saiz pelabur yang meningkat. Ia memang mencabar bagi tabung ASB.
“Tetapi apabila ASB mampu memberi agihan sebanyak itu bermakna rizab nilai aset bersih (NAV) ASB berada dalam keadaan selesa, walaupun pasaran tempatan malap dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette