KUALA LUMPUR- Orang ramai perlu memahami konsep pulangan dan risiko pelaburan serta penanda aras yang digunakan bagi menilai sesebuah pelaburan.
Jelas Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) penanda arasnya adalah kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank.
Untuk rekod, bagi tahun kewangan 2019 kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank adalah 3.1 peratus.
Selain itu menurut Afzanizam, para pelabur perlu memahami pelaburan ASB diselaraskan dengan hukum pelaburan dan objektifnya.
“Hukum pelaburan adalah semakin tinggi pulangan maka semakin tinggilah risiko pelaburan.
“Dalam hal ini, pelaburan ASB perlu diselaraskan dengan hukum pelaburan serta objektifnya.
“Ini bermakna risiko pelaburan perlu diambil kira secara holistik supaya pulangan pelaburan yang dihasilkan adalah konsisten,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambahnya, kadar agihan pendapatan ASB 2019 yang diumumkan semalam menunjukkan pihak Permodalan Nasional Bhd. (PNB) sangat berhati-hati dalam melaksanakan kegiatan pelaburan mereka.
Firma pengurusan dana itu juga katanya, banyak dibantu oleh pasukan penyelidik pelaburan dan pengurus dana yang berpengalaman sekali gus membezakannya dengan skim pelaburan cepat kaya mahu pun sebarang bentuk pelaburan tidak sah yang hanya menumpukan aspek pulangan pelaburan tanpa menyatakan tahap risiko yang diambil.
Tambah Afzanizam, lebih baik jika pelabur memilih pelaburan yang menawarkan pulangan yang tidak begitu tinggi tetapi risikonya juga rendah.
“Tiada gunanya jika sesuatu pelaburan itu boleh menghasilkan pulangan 30 peratus setahun tetapi risikonya adalah 100 peratus.
Semalam, PNB mengumumkan agihan pendapatan bagi dana amanah utamanya, ASB sebanyak lima peratus ditambah bonus sebanyak 0.5 peratus, kadar terendah dalam sejarah sejak dana tersebut dilancarkan pada 1990 yang didorong terutamanya oleh kelemahan prestasi pasaran tempatan.
BACA: Agihan pendapatan ASB sebanyak 5 sen seunit, bonus 0.50 sen
Menurut Pengerusi Kumpulan PNB, meskipun merekodkan agihan pendapatan paling rendah dalam sejarah ASB namun masih kompetitif jika dibandingkan dengan instrumen lain seperti deposit tetap malah lebih baik berbanding prestasi indeks penanda FBMKLCI.
Katanya, jika dibandingkan dengan kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, agihan pendapatan ASB telah mengatasi penanda arasnya sebanyak 2.4 peratus dan sekiranya dibandingkan dengan FBMKLCI setakat 16 Disember lalu, ASB telah mengatasi indeksnya sebanyak 12.7 peratus.- MalaysiaGazette