Home Politik Kecelaruan polisi ekonomi kerajaan punca prestasi bursa merudum

Kecelaruan polisi ekonomi kerajaan punca prestasi bursa merudum

Asyraf Wajdi Dasuki

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya mengakui dasar dan polisi ekonomi dan bercelaru dan U-turn sebenarnya banyak mempengaruhi prestasi Bursa Saham Malaysia, sekali gus menyebabkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun ini terendah sejak tahun 1990.

Ini kerana, Permodalan Nasional Berhad (PNB) banyak melabur di dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, disebabkan agihan pendapatan yang terendah itu, rata-rata peminjam yang membeli unit ASB bakal menerima keuntungan yang sedikit daripada kadar agihan antara 0.65% hingga 0.25%.

Ini kerana, kadar pembiayaan yang ditawarkan oleh bank-bank adalah dari 4.85% hingga 5.25%.

“Pergerakan Pemuda UMNO ingin mengingatkan kerajaan bahawa ASB adalah antara instrumen pelaburan yang selamat dan menguntungkan kepada rakyat khususnya Bumiputera.

“Tidak mustahil ada dalam kalangan rakyat yang memiliki unit ASB bakal menjual unit-unit mereka untuk beralih ke unit amanah lain yang menawarkan agihan pendapatan yang lebih tinggi kelak.

“Apakah yang akan terjadi pada ASB dan PNB kelak?,” soalnya.

Tambahnya, golongan pekerja juga menantikan pengumuman kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 yang bakal diumumkan awal tahun hadapan.

Asyraf berkata, sekiranya kadar dividen KWSP juga bakal menerima nasib yang sama, sudah pasti kehidupan rakyat terjejas. – MalaysiaGazette