KUALA LUMPUR- Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 tidak akan membincangkan isu Ughyur dan Yaman kerana persidangan kali ini bukan mengenai politik atau agama.
Sebaliknya, sidang kemuncak itu hanya memberi fokus kepada isu-isu berkaitan pembangunan negara-negara Islam, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Dunia ketika ini terutama orang Islam sedang menggerakkan kempen menggesa China menghentikan kezaliman terhadap etnik Ughyur termasuk mendesak semua negara memboikot Sukan Olimpik Beijing 2022.
Ketika ditanya mengenai undang-undang baharu India yang menindas orang Islam, Mahathir yang terkenal lantang memperjuangkan isu-isu kemanusiaan menyatakan kekesalannya melihat negara tersebut menzalimi rakyatnya sendiri.
“Malaysia menerima kaum India malah Cina juga ke negara ini dengan memberikan mereka kerakyataan walaupun mereka ada sesetengah daripada mereka tidak layak. Mereka ini semua ada di dalam kerajaan.
“Tetapi saya kesal melihat India yang mendakwa mereka adalah sebuah negara sekular mengambil tindakan menindas rakyat mereka sendiri. Ramai rakyat yang sudah mati.
“Sekiranya perkara tersebut berlaku di sini, sudah pastilah berlaku kekacauan dan ketidakstabilan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.
Menyentuh mengenai keputusan Kongres yang menyabitkan Presiden Donald Trump dengan kesalahan memberi tekanan kepada Ukraine untuk menyiasat lawannya, Joe Biden, Mahathir berpendapat, parti Republikan juga mungkin bersetuju pemimpinnya melakukan kesalahan.
Semalam, ahli-ahli Kongres mengundi untuk menyabitkan kesalahan terhadap satu tuduhan salah guna kuasa kepada Presiden Amerika Syarikat itu yang dilakukan ketika pilihan raya Presiden 2020.- MalaysiaGazette