KUALA LUMPUR – Ketiadaan kelibat Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof dalam program KL Summit menimbulkan tanda tanya.
Bagi pemerhati politik, Azizi Safar, ia satu yang pelik sedangkan Mujahid merupakan menteri yang menjaga agama Islam di negara ini.
Beliau juga mempersoalkan penyertaan perbincangan meja bulat yang telah dihadiri oleh seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Rasa ‘pelik’ dibangkitkan Azizi dalam laman sosial Facebooknya dan beliau menyoal tentang signifikan di sebalik tindakan itu.
“Katanya, wakil Malaysia yang berucap dalam sidang meja bulat dan pleno KL Summit adalah Mohamed Azmin, Zuraida dan Mukhriz. Ini menimbulkan tanda tanya ramai. Mereka bukanlah personaliti yang sinonim dengan perjuangan umat Islam.
“Anehnya, Menteri Rahmatan Lil Alamin yang juga Menteri Hal Ehwal Islam (Mujahid) tidak diberikan sebarang peranan.
“Malahan dia tidak juga dilantik menganggotai Lembaga Penasihat Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 ataupun sebagai menteri pengiring kepada ketua negara yang hadir.
“Adalah pelik, Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Azmin) pula yang diberi peranan utama. Apakah Sidang Kemuncak KL 2019 ini satu forum untuk memperkenalkan Azmin kepada dunia,” tulisnya lagi.
Persidangan dengan tema ‘Peranan Pembangunan Dalam Akses Kedaulatan Negara’ menghimpunkan para pemikir, intelektual, ahli politik, dan pemimpin-pemimpin masyarakat selain mendapat liputan media tempatan serta antarabangsa sejak 18 Disember lepas dan berakhir esok.
Azizi juga menyoal mengapakah persidangan yang sepatutnya platform bagi seluruh umat Islam hanya dihadiri oleh tiga ketua negara sahaja iaitu Turki, Qatar dan Iran.
Pemimpin-pemimpin itu termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran, Hassan Rouhani dan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani.
“Indonesia dan Pakistan yang di jemput tidak pula hadir. Kemuncak di peringkat antarabangsa adalah persidangan ketua-ketua negara atau kerajaan. Sekiranya yang hadir hanya bertaraf wakil-wakil sahaja, itu sidang ‘kemuncup’ sahaja seperti kata kawan aku.
“Tetapi, bila difikirkan balik, tiada yang pelik dengan Pakatan Harapan. Songsang, luar tabii adalah amalan mereka,” dakwanya.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kelmarin ada memberikan penjelasan Sidang Kemuncak KL 2019 tidak berhasrat untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Mahathir berkata, beliau mengambil peluang untuk menjelaskan perkara itu kepada Raja Salman Abdulaziz Al Saud dalam persidangan video dengan Raja Arab Saudi itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, venue Sidang Kemuncak KL 2019 yang akan berlangsung dari esok sehingga Sabtu ini.
Dalam kenyataan terdahulu, pejabat Perdana Menteri berkata, Sidang Kemuncak KL yang memasuki edisi kelima, merupakan inisiatif pertubuhan bukan kerajaan, yang disokong oleh kerajaan Malaysia. –MalaysiaGazette