Home Nasional Amaran hujan lebat peringkat jingga

Amaran hujan lebat peringkat jingga

Amaran hujan lebat peringkat jingga dijangka berlaku di pantai timur Semenanjung Malaysia.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga dijangka berlaku di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Dalam satu kenyataan, MetMalaysia menyatakan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana lebat berlaku di negeri Pahang (Daerah Maran, Bera, Rompin, Pekan, Kuantan dan Jerantut) dan Terengganu dijangka berterusan sehingga Rabu, 28 Disember.

Sementara amaran hujan lebat peringkat kuning dijangka berlaku di Kelantan sehingga Rabu, 28 Disember.

Hujan lebat dijangka berlaku di Johor dan Sarawak (Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu) mulai dari Rabu, 28 Disember sehingga Jumaat, 30 Disember.

MetMalaysia melalui laman web yang dikemas kini pada jam 6.15 pagi tadi, melaporkan Taufan Nock-Ten dicerap pada jam 5 pagi itu berada di latitud 13.4 Utara dan longitud 122.0 Timur, kira-kira 179 kilometer ke tenggara Manila, Filipina.

Taufan (Nock-Ten) bergerak ke arah barat dengan kelajuan 20 kilometer sejam (km/j).

Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 km/j dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di kawasan perairan Laut China Selatan.

Sementara itu, Malaysian Airlines (MAS) turut membuat penjadualan semula beberapa penerbangan ekoran Taufan Nock Ten yang melanda Filipina.

Penumpang dinasihatkan untuk merujuk kepada status penerbangan di
www.malaysiaairlines.com atau menghubungi 1-300-88-3000 untuk sebarang kemaskini.