KUALA LUMPUR- “Negara yang berjaya perlu dikenakan sekatan terlebih dahulu barulah mereka boleh berjaya dan berdikari dalam bidang pertahanan,” kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sambil merujuk kepada kejayaan Iran di dalam industri pertahanan.
Jelasnya, Malaysia sedang melakukan transformasi dalam bidang pertahanan dengan antara lain mengadakan kerjasama dengan negara-negara Islam yang mempunyai sistem pertahanan yang hebat seperti Iran, Turki, Pakistan dan Indonesia.
Dalam masa sama, katanya, Malaysia tetap meneruskan kerjasama yang telah terjalin sejak 1971 di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) bersama Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.
“Kita baru menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Turki terutama dalam penyelidikan dan pembinaan kapal-kapal kecil serta bot pemintas kecil (FIC), radar dan teknologi UAV (dron).
“Bagi Iran pula, kita masih belum ada perancangan secara besar-besaran tetapi mereka negara yang berjaya dan berdikari dalam bidang pertahanan.
“Ini yang perlu kita perlu pelajari bagaimana mereka menghadapi sekatan dan bagaimana mereka membuat peralatan canggih serta di mana mereka memperoleh teknologi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi plenari 3: Kemajuan Teknologi Tinggi sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata, pertumbuhan pantas teknologi hari ini memerlukan semua pihak melihat semula keperluan melabur pada jentera dan tenaga kerja kerana dengan bakat yang betul, teknologi terkini yang dapat dicipta boleh digunakan secara bertanggung jawab.
“Ketika ini kesemua operasi ditentukan oleh pelbagai perkara contohnya, kelajuan dan kepantasan yang dipacu oleh elemen-elemen berteknologi tinggi termasuk kepintaran buatan (AI), robot, teknologi 5G seperti pengesanan wajah serta UAV.
“Elemen-elemen ini sering menjadi keutamaan dalam pelaburan pertahanan oleh banyak negara bagi memastikan mereka sentiasa kehadapan dari segi kemampuan teknologi bagi memastikan mereka mampu memintas sebarang ancaman pada masa depan.
“Malangnya, inovasi ini perlu dibayar dengan harga yang tinggi apabila ia disalahgunakan.
“Disebabkan itu, penting untuk kita melabur kepada bakat yang betul,” katanya.- MalaysiaGazette
Mentang-mentang menteri ini pengikut Syiah, semua perkara nk berkiblatkan ke Iran