Home Utama Gambar saya pada sijil MRSM hanya ucap tahniah bukan motif politik –...

Gambar saya pada sijil MRSM hanya ucap tahniah bukan motif politik – Rina

Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Seri Rina Harun bergambar kenangan bersama penduduk ketika hadir pada program Pasar Sentuhan Srikandi di Dewan Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang Jaya, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 21 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pemaparan gambar Datuk Seri Rina Harun pada sijil tahniah tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan baucer buku pelajar sekolah rendah dan menengah tidak ada sebarang motif politik.

Itu penjelasan empunya badan yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Rina diminta mengulas mengenai pemaparan gambarnya dalam sijil tahniah dan penghargaan pelajar yang tular di media sosial sehingga beliau dicap sebagai menteri gila publisiti baru-baru ini.

“Saya sebenarnya hanya nak ucapkan tahniah kepada 7,000 lebih pelajar daripada jumlah 80,000 permohonan yang diluluskan tawaran sahaja, ini bukan sijil yang anak bawa ke tempat kerja untuk memohon kerja, kalau dapat alhamdulillahlah..sebenarnya hanyalah berniat ucapkan tahniah kerana mereka terpilih atas kesungguhan belajar dan berimpian untuk masuk MRSM juga.

“Sebelum keputusan diumumkan pun saya sudah menerima banyak surat rayuan daripada pelajar dan juga ibu bapa mereka tetapi saya nasihatkan supaya tunggu dulu keputusan maka bayangkan betapa cenderung mereka mahu sertai MRSM.

“Lagi pun, saya tak fahamlah kalau itu dijadikan isu. Bagaimanapun saya ucapkan tahniah dan terima kasih (pembangkang) kerana beri satu publisiti (percuma) kepada saya, dan dapat supaya orang ingat saya waktu nak masuk MRSM dan sedar di bawah kementerian Pembangunan Luar Bandar ada bantuan diberikan kepada anak anak golongan B40.

“Saya rasa tahun lepas kita orang buat program yang sama tetapi tidak ada seorang pun yang tahu mengenainya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau juga ditanya sama inisiatifnya ditegur oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang pernah suatu ketika dahulu menegur langkah Datuk Seri Azalina Othman yang menggunakan gambarnya dalam program bantuan rakyat semasa menjadi menteri pada kerajaan terdahulu.

“Oh, setakat ini tidak ada (teguran) lagi (Tun M). Yang itu kena tanya Tun…tidak mengapa..niat kita sebenarnya untuk ucapan tahniah, lagipun rakyat suka tertanya-tanya apa bantuan dibuat kerajaan,” ujarnya.

Tambah Rina, pihaknya hanya berniat untuk memaklumkan kementeriannya menghargai dan meraikan anak-anak B40  termasuk pemberian baucer buku melibatkan seramai 43,252 orang pelajar seluruh negara.

“Ini benda asal dan baucer buku ini mampu meringankan beban mereka dapat membeli alat tulis di sekolah dan koperasi buku,” ujarnya sambil menyatakan kesediaan untuk menambah peruntukan kewangan nilai baucer buku murid jika lebih ramai rakan kongsi strategik dari korporat dan luar tampil bekerjasama. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.