Home Nasional Kalau boleh saya mahu kenakan sekatan pada Trump

Kalau boleh saya mahu kenakan sekatan pada Trump

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua kanan) bercakap semasa sidang media pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Malaysia menentang sebarang kaedah sekatan perdagangan bagi menyelesaikan konflik di antara negara.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sekatan perdagangan adalah satu jenayah yang bukan sahaja menindas negara yang dihukum tetapi juga negara-negara lain yang mempunyai hubungan ekonomi dengannya.

“Secara amnya, kami tidak percaya kepada sekatan. Saya tidak menyatakan mana-mana kes secara khusus tetapi sekatan adalah satu perbuatan jenayah kerana anda bukan sahaja menghukum negara berkenaan tetapi negara-negara lain juga.

“Apabila mereka mengenakan sekatan ke atas Iran, kita kehilangan pasaran sedangkan Iran adalah sebuah pasaran yang besar kepada kita, jumlah dagangan merosot ke paras hampir kosong.

“Langkah sebegini hanya boleh dilakukan oleh sebuah negara yang kuat.

“Kalau boleh saya mahu mengenakan sekatan ke atas Trump (Presiden Amerika Syarikat, Dinald Trump) tetapi saya tida boleh kerana Malaysia sebuah negara yang lemah.

“Tetapi beliau boleh mengenakan sekatan ke atas semua negara dan kita akan menderita.

“Inilah seburuk-buruk demokrasi. Apabila kita bercakap tentang kebebasan bersuara, mereka sendiri menafikan hak demokrasi kepada orang lain,” katanya semasa sidang media sempena berakhirnya Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai prestasi sidang kemuncak yang julung kali diadakan itu, Mahathir berpuas hati dengan kehadiran pemimpin-pemimpin negara, wakil-wakil negara serta para cendekiawan yang membincangkan pelbagai isu mengenai pembangunan umat Islam.

Menyentuh mengenai Imran Khan yang sepatutnya menghadiri persidangan tersebut bersama Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran Hassan Rouhani, Mahathir berkata, meskipun agak sedih dengan perkara tersebut tetapi beliau tetap mengalu-alukan penyertaan Pakistan dalam kumpulan berkenaan.

“Idea mengenai sidang kemuncak ini tercetus apabila kami bertiga bertemu di Perhimpunan Agung PBB yang lalu, saya, Imran dan Erdogan berpendapat kami boleh bekerja bersama-sama.

“Tetapi jika beliau tidak boleh datang pada masa ini, mungkin boleh datang nanti,” katanya lagi.- MalaysiaGazette