Home Nasional Kadar pencemaran kekal, LRA Sungai Semenyih belum beroperasi

Kadar pencemaran kekal, LRA Sungai Semenyih belum beroperasi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi masih belum boleh beroperasi setakat 6 pagi tadi kerana kadar pencemaran bau kekal di paras 1 ton dan kadangkala naik 2 ton.

Air Selangor berkata, ini bagi mengelakkan sebarang insiden bau yang tidak diingini berlaku pada air terawat di LRA dan seterusnya sampai kepada pengguna.

Dalam kenyataan hari ini, Air Selangor berkata, pihaknya memahami kesulitan pengguna yang terjejas dan amat kesal dengan perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang mencemarkan sungai tanpa menyedari tindakan mereka telah memberikan kesulitan kepada semua pihak terutama 336, 930 pengguna air di 4 wilayah.

“Pihak kami sedang melakukan segala usaha bagi menyalurkan bantuan bekalan kecemasan berterusan melalui lori-lori tangki air, edaran botol air minum, pengaktifan Pusat Khidmat Setempat dan Pili Awam yang akan beroperasi 24 jam sehari,” katanya di sini.

Tambah Air Selangor, sebanyak 6 pili awam telah ditambah dan penduduk yang terjejas boleh mendapatkan bekalan di lokasi pili-pili awam yang telah disediakan.

Selain daripada itu, sehingga jam 6 pagi, hari ini sebanyak 4,032 botol air minum telah diagihkan di kawasan-kawasan terlibat.

Air selangor juga telah membuka kaunter pembelian air untuk pihak ketiga mulai hari ini.

Bagi pembelian air oleh pihak ketiga, ianya boleh dilakukan menerusi kaunter-kaunter di Wilayah yang tidak terjejas iaitu Kuala Lumpur, Gombak dan Klang.

Gangguan itu berlaku selepas pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih yang berlaku sejak 7.15 pagi pada Sabtu lalu.

Berdasarkan bacaan yang direkodkan pada pagi semalam 22 Disember 2019, kadar pencemaran telah turun ke paras 1 ton pada jam 11 pagi. – MalaysiaGazette