Home Nasional Tinggal seminggu 2019, usaha jejaki Jho Low ibarat bertepuk sebelah tangan –...

Tinggal seminggu 2019, usaha jejaki Jho Low ibarat bertepuk sebelah tangan – KPN

Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Usaha membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, ibarat seperti bertepuk sebelah tangan.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, hanya tinggal seminggu usaha yang digerakkan polis untuk menangkap Jho Low serta ahli keluarga dan rakan-rakannya yang terlibat dalam kes 1Malaysia Development Berhad.

Namun katanya, usaha tersebut tidak dapat kerjasama ikhlas daripada negara tertentu walaupun terdapat perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

“Usaha dan kerjasama antara Malaysia dan negara-negara rakan kerjasama sepatutnya mempunyai semangat membalas budi namun saya melihat pihak satu lagi tidak ikhkas dalam membantu kita mendapatkan Jho Low.

“Seminggu lagi usaha saya (jejaki Jho Low) berterusan tanpa putus asa setakat ini,tetapi dalam kerja-kerja hubungan dua hala, tiga hala atau hubungan multileteral dengan kepolisan luar inilah yang mengecewkan saya walaupun saya telah menulis surat, jumpa rakan sejawatan dan sepasukan di luar serta menyeru beberapa kali.

“Saya telah harapkan kerjasama ikhlas negara luar, mereka mengecewakan kami membalas tidak ada (Jho Low sembunyi) tetapi saya tidak boleh kecewa dan berjanji berusaha keras membawa pulang penjenayah sebelum hujung tahun ini berbaki 7 hari lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Logistk dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kesalamatan Komuniti.

Abdul Hamid berkata,  beliau tidak akan berdiam diri selagi tidak menahan Jho Low dan berjanji akan menggunakan segala sumber dan kepakaran yang ada bagi mencapai matlamat itu.

Berikutan tidak mendapat kerjsama dengan negara tertentu, tambah beliau, pihaknya akan melakukan perkara yang sama sekiranya negara terbabit meminta bantuan Polis DiRaja Malaysia pada masa depan.

“Begitulah hubungan dalam konteks kerjasama dua hala, saya tidak akan berdiam diri kerana dia (Jho Low) dan keluarga dia serta rakan-rakan hidup di luar walaupun dalam keadaan takut masih lagi berani membelanjakan wang haram yang dirompok daripada rakyat.

“Saya tahu dia di mana, cubaan dia untuk beli harta di Cyprus telah dibongkar, ada lagi cubaan dia untuk ‘establish’ satu lagi di luar negara tetapi kita tidak boleh sebut sekarang sebab masih dalam siasatan lagi,” ujarnya.

Ditanya apakah negara tertentu tidak mahu mendedahkan lokasi Jho Low walaupun mempunyai maklumat, Abdul Hamid yang mengakui perkara itu berkata, setiap kali pihaknya memberi maklumat terkini beserta dokumen, rekod perjalanan Jho Low, jawapan yang diterima ialah ‘tidak ada’ atau tidak betul Jho Low bersembunyi di negara terbabit.

“Memang ada beberapa negara yang kita menjalin kerjasama lebih enam tahun dalam soal ini dengan pihak berkuasa mereka tapi tidak berlaku adil dan ikhlas membantu kita tangkap Jho Low tanpa memahami bahawa ini jenayah terhina yang tidak melibatkan politik sama sekali,” katanya. – MalaysiaGazette