Home Nasional Hanya LRA Sungai Semenyih yang sudah beroperasi

Hanya LRA Sungai Semenyih yang sudah beroperasi

Penduduk mendapatkan air yang dihantar oleh lori bekalan Air Selangor semasa tinjauan mengenai bekalan air terputus disebabkan oleh penutupan Loji Rawatan Air Semenyih di Taman Lestari Permai, Seri Kembangan, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 22 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mula beroperasi pada pukul 1 petang tadi manakala LRA Bukit Tampoi masih belum memulakan operasinya.

Proses rawatan dan pengeluaran air terawat akan mengambil sedikit masa sebelum bekalan stabil untuk disalurkan kepada pengguna.

Air Selangor berkata, usaha lanjut untuk memastikan tahap pencemaran bau tidak meningkat semula di air mentah Sungai Semenyih dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang mengambil langkah proaktif dengan mengepam air dari Tasik Idaman ke Sungai Semenyih bagi tujuan penstabilan dan pencairan pencemaran bau ini.

Dengan langkah ini, Air Selangor berharap pencemaran bau tidak akan berulang, katanya dalam satu kenyataan di sini.

“Sebagai usaha membantu pengguna-pengguna terlibat dengan gangguan tidak berjadual ini, Air Selangor terus giat menyalurkan bekalan air kecemasan dengan pengagihan lori-lori tangki air dengan lebih kerap.

“Sementara itu, 11 buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) terus beroperasi 24 jam di 4 wilayah seperti yang telah disenaraikan sebelum ini.

“Selain sebagai pusat untuk membantu pengguna setempat dan aduan, PKS juga berfungsi sebagai pusat penjadualan dan pengagihan lori-lori tangki,” katanya.

Kedua-dua LRA itu ditutup susulan insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih yang berlaku sejak hari Sabtu, jam 7.15 pagi. – MalaysiaGazette