Home Ekonomi Unjuran ekonomi 2020 mengecewakan- BoT

Unjuran ekonomi 2020 mengecewakan- BoT

BANGKOK – Bank of Thailand menggambarkan tinjauan masa hadapan ekonomi pada 2020 adalah mengecewakan.

Jelasnya, meskipun ekonomi dijangka mempunyai prestasi lebih baik tahun depan namun ianya masih di bawah potensi sebenar.

Gabenor Veerathai Santiprabhob pada minggu lepas berkata, bank pusat itu menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 2019 kepada 2.5 peratus dan 2.8 peratus pada tahun depan, merosot berbanding ramalan awal 3.3 peratus.

Tahun lepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh sebanyak 4.1 peratus.

Menurut Bangkok Post, Bank of Thailand telah mengundi untuk menurunkan kadar faedah ke paras terendah iaitu 1.25 peratus selepas melaksanakan dua kali pemotongan tahun ini.

Ini adalah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Thailand dan menyokong meningkatkan paras inflasi.

Tambah Santiprabhob, unjuran pertumbuhan ekonomi sebanyak 2.8 peratus tahun hadapan adalah mengecewakan kerana paras “memuaskan” adalah sekitar 3.5 peratus sehingga empat peratus.

Menurut Gabenor tersebut, risiko besar kepada ekonomi adalah penurunan kadar pemilikan kerja dan lebih banyak pengilang yang akan bergantung kepada pekerja-pekerja sementara selain mengurangkan jumlah jam bekerja.

Minggu lepas, Bank of Thailand menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini dan tahun depan susulan kelemahan ekonomi global, gangguan perdagangan dan pengukuhan mata wang baht.

“Bank Pusat sentiasa aktif menguruskan kadar tukaran asing.

“Tanpa campur tangan kami, baht akan menjadi lebih kukuh daripada paras semasa.

“Namun begitu, kami tetap berhati-hati terhadap campur tangan berlebihan kerana tidak mahu menimbulkan kesan sampingan.

“Ini juga akan membuka ruang kepada Thailand untuk dituduh sebagai sebuah negara yang memanipulasi mata wang,” katanya.

Tambah beliau, rizab mata wang asing Thailand telah melonjak dengan signifikan kerana Bank of Thailand telah membeli banyak mata wang dolar bagi memperlahankan pengukuhan baht.- Agensi

1 Komen

Comments are closed.