MADRID – Barcelona membuat persiapan untuk menerima kembali bintang Brazil, Neymar, ke Camp Nou pada jendela perpindahan pemain Januari ini.
Laporan di Sepanyol mendakwa the Catalans menyediakan tawaran baharu untuk membawa pulang pemain itu pada akhir musim ini.
Juara La Liga Sepanyol itu dikatakan terdesak untuk membawa semula pemain berusia 28 tahun itu kembali ke Camp Nou.
Sejak pulih daripada kecederaan, Neymar mempamerkan aksi luar biasa bersama Paris Saint Germain (PSG) dalam Ligue 1.
Bagaimanapun PSG difahamkan tidak sanggup melepaskan pemain itu dengan nilai yang rendah.
Sumber terdekat Barcelona mengesahkan bahawa kelab itu bersedia menjadikan pemain tersebut sasaran nombor satu untuk memperkukuhkan jentera serangannya musim depan.
Walaupun memiliki penyerang sensasi dari Atletico Madrid, Antoine Griezmann dan perancang tengah Ajax, Frenkie de Jong, Barcelona masih merasakan kehadiran Neymar akan melengkapkan jentera pasukan itu.
Barcelona difahamkan akan mengumpul dana kira-kira 190 juta pound menerusi jualan pemain kurang menyerlah.
Dana tersebut akan digunakan untuk mendapatkan Neymar semula namun difahamkan nilai 190 juta pound yang disyaratkan PSG musim lalu tidak sama ketika ini dan akan dinaikkan lagi.
Prestasi semasa Neymar berkemungkinan menyebabkan PSG menuntut nilai yang lebih tinggi daripada Barcelona.- MalaysiaGazette