KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan dinasihati supaya tidak memotong elaun kritikal 33 skim perkhidmatan awam lantikan baharu yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan.
Tindakan tidak rasional kerajaan memerintah berusia 19 bulan itu dibidas dan dikritik kewajarannya disebalik dasar yang mahu dilaksanakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Parlimen BN Ketereh itu meminta kerajaan supaya elaun dan kemudahan perjawat awam tidak diusik atau dipotong sambil mendesak kerajaan PH menghentikan drama mereka yang berpura-pura terkejut.
“Elaun dan kemudahan penjawat awam usahlah dipotong wahai kerajaan PH.
“Menteri PH tolonglah berhenti berdrama dan pura-pura terkejut,” katanya dalam ciapan Twitter.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO mempersoalkan pihak terbabit bagaimana isu itu boleh terlepas pandang memandangkan ia pasti sudah diangkat dan dimuktamadkan dalam mesyuarat kabinet sebelum ini.
“Tidakkah mesyuarat Kabinet setiap hari Rabu?? Vetolah keputusan JPA itu!!!. Belum cukupkah PH menghina penjawat awam,” soal beliau sambil mendesak kerajaan menghentikan sebarang perbuatan menganiaya penjawat awam dengan dasar-dasar menyusahkan. – MalaysiaGazette