KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Seventeen yang terkenal di Indonesia iaitu Riefian Fajarsyah atau Ifan mengumumkan pembikinan filem dokumentari bertajuk Kemarin yang mengisahkan tsunami yang melanda Palu, Indonesia pada 22 Disember tahun lalu.
Insiden tersebut mengorbankan isterinya dan beberapa anggota kumpulan yang lain.
Kata Ifan filem dokumentari yang masih dalam proses pembikinan itu bakal ditayangkan pada tahun depan.
“Pada hari ini (22 Disember 2019) tepat setahun peristiwa tsunami Tanjung Lesung, teaser kedua filem ‘Kemarin’ dipersembahkan.
“Mengikut perancangan filem Kemarin akan segera ditayangkan pada 2020 dan ketika ini, pelbagai pertimbangan sedang dilakukan bersama satu pasukan hebat bagi menghasilkan filem terbaik,” tulisnya di akaun Instagramnya.
Teaser itu turut menyelitkan klip video Seventeen membuat persembahan di atas pentas sebelum tsunami meranap pentas itu sekelip mata.
Selain isterinya, Dylan Sahara anggota kumpulan yang terkorban ialah pemain bass, Muhammad Awal Purbani; pengurus kumpulan, Oki Wijaya; pemain gitar, Herman Sikumbang; anggota kru, Rukmana Rustam dan pemain dram, Wisnu Andi Darmawan.
Ifan turut meluahkan rasa sedih kerana menyambut ulang tahun kedua perkahwinan tanpa isterinya di sisi.
Untuk rekod, tsunami yang melanda Selat Sunda itu berlaku pada malam 23 Disember tahun lalu ketika Seventeen diundang untuk menjayakan persembahan di Tanjung Lesung Beach Resort.-MalaysiaGazette