KUALA LUMPUR – Pelakon Fattah Amin mengakui dia tidak pernah patah semangat biar pun dikecam teruk selepas menghasilkan buku, 99 Kata-Kata #QalifModen.
Walaupun menjadi kontroversi, siapa sangka penulisan pertamanya itu diangkat sebagai Buku Paling Popular sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.
Sebagai pendorong semangat, pelakon berusia 27 tahun itu tampil pula dengan novel nerjudul Wanita Terakhir yang diangkat daripada single terbaharunya yang diterbitkan pada Januari lalu.
Novel itu ia diilhamkan daripada lagu ciptaan Aizat Amdan serta Mel Ramlan itu dan Fattah menafikan penghasilan novel tulisan Ezza Mysara itu ingin ‘menjual’ perjalanan kisah percintaannya dengan pengacara dan pelakon jelita, Neelofa.
Lirik lagu Wanita Terakhir berkisar mengenai lelaki yang berjuang mendapatkan cintanya, biarpun terpaksa berdepan pelbagai dugaan.
“Saya hanya memberikan idea, tetapi apa yang dipaparkan bukan pengalaman peribadi,” katanya berterus-terang.
Fattah ditemui pada majlis pelancaran novel itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017, di sini semalam.
Pelakon yang popular menerusi Suri Hati Mr Pilot itu turut merancang untuk mengangkat novel itu dalam bentuk drama yang akan dibintanginya sendiri.
Fattah bagaimanapun masih belum memilih pengarah dan pelakon wanita, yang akan bergandingan dengannya.
Selepas ini, dia akan muncul dengan drama terbaharu, Hero Seorang Cinderella bergandingan dengan Fazura pada akhir bulan depan.
Pada masa sama, Fattah berharap sokongan yang diterimanya pada Anugerah MeleTOP Era (AME) 2017 akan berlanjutan pada kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0.
ABPBH 3.0 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menyaksikan Fattah tersenarai dalam calon awal kategori utama, Pelakon TV Lelaki Popular, selain dua kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama (Suri Hati Mr Pilot) dan Artis Sensasi. – MalaysiaGazette