Home Ekonomi Malaysia di landasan untuk jadi negara maju

Malaysia di landasan untuk jadi negara maju

Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR – Malaysia sudah menunjukkan ciri-ciri negara maju dari beberapa segi antaranya peningkatan pertubuhan beroperasi dalam sektor perdagangan borong dan runcit di samping penggunaan Internet yang tinggi oleh syarikat-syarikat berkenaan.

Menurut Laporan Awalan Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 (WRC 2019), bilangan pertubuhan beroperasi dalam sektor borong dan runcit pada 2018 adalah sebanyak 468,930 berbanding 370,725 pada 2013, meningkat sebanyak 4.8 peratus.

Manakala sejumlah RM1.322 trilion pendapatan telah dijana menerusi sektor berkenaan berbanding RM893.2 bilion pada 2013 sekali gus menyaksikan kadar perkembangan tahunan sebanyak 8.2 peratus.

Untuk rekod, WRC diterbitkan pada setiap lima tahun.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah pertubuhan beroperasi dalam sektor borong dan runcit yang meningkat di tengah-tengah kelemahan persekitaran ekonomi global menunjukkan sesuatu yang positif kepada ekonomi Malaysia.

“Jika bilangan pertubuhan beroperasi semakin meningkat, ini terdapat permintaan daripada pembeli manakala di pihak pemborong atau peruncit pula mereka telah membuka peluang pekerjaan dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang lain apabila menubuhkan syarikat.

“Pertumbuhan sebanyak 4.8 peratus ini sangat baik terutamanya ia melibatkan e-dagang. Apabila kita melihat ada transaksi atau bahasa mudahnya, wang bertukar tangan, maka ia adalah satu perkara yang baik untuk ekonomi negara.

“Namun saya perlu akui, bukan semua sektor berkembang dalam jajaran yang sama cuma Malaysia beruntung kerana memiliki kepelbagaian ekonomi.

“Ekonomi kita dipacu oleh lima sektor utama dan tidak hanya bergantung kepada satu-satu sektor sahaja contohnya perlombongan seperti sesetengah negara lain,” katanya semasa sidang media selepas melancarkan WRC 2019 di sini hari ini.

Tambah Uzir, borong dan runcit berada di bawah sektor perkhidmatan yang menyumbang 56 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Sumbangan daripada borong dan runcit sahaja adalah sebanyak 16.7 peratus kepada KDNK ketika ini berbanding hanya sekitar 10-12 peratus pada 2013.

Pada 2018, subsector perdagangan borong menjadi penyumbang tertinggi pendapatan iaitu RM672.4 bilion (50.9 peratus) diikuti perdagangan runcit (RM494.9 bilion; 37.4 peratus) dan kenderaan bermotor *RM154.4 bilion; 11.7 peratus).

Menurut Uzir, WRC 2019 boleh dijadikan pengukur daya saing pemain-pemain industri sektor perdagangan borong dan runcit dalam melaksanakan perniagaan di Malaysia.

Ia juga membantu kerajaan dalam menggubal dasar yang berkaitan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Laporan penuh akan dikeluarkan Februari ini.- MalaysiaGazette