Home Nasional KDN ambil langkah proaktif selesai isu permohonan kewarganegaraan

KDN ambil langkah proaktif selesai isu permohonan kewarganegaraan

Muhyiddin Mohd Yassin

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah proaktif untuk merungkai permasalahan melibatkan permohonan kewarganegaraan khususnya kes kanak-kanak tanpa dokumen di negara ini.

Menteri berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu telah ditambah baik dengan pemohon tidak perlu menunggu terlalu lama berbanding sebelum ini.

Beliau berkata penambahbaikan SOP berhubung pemberian kewarganegaraan, khususnya di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan menyaksikan proses kelulusan terutama melibatkan anak angkat atau pengangkatan dipercepat di bawah tempoh setahun.

“Dahulu, ada yang mengadu tempoh pemprosesan mengambil masa terlalu lama sehingga ada yang mencapai 10 tahun, dan untuk itu kita akan guna SOP baharu untuk selesaikan isu tersebut.

“Kalau kanak-kanak yang lahir itu kekal tanpa dokumen yang sah, ia menimbulkan banyak masalah. Ini yang kita akan cuba selesaikan,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Bagi permohonan di bawah Perkara 15A, SOP baharu menggariskan beberapa langkah dalam memastikan setiap permohonan kewarganegaraan dapat dipertimbang secara lebih teliti, adil dan cepat antaranya garis panduan yang lebih jelas dalam pengendalian dan pertimbangan permohonan.

Antara lain, pengemaskinian SOP yang melalui proses kajian sejak April lepas itu mengandungi mekanisme pemakluman kepada pemohon berkaitan sebab permohonan kewarganegaraan ditolak dan tempoh pemprosesan permohonan yang sebelum ini tidak dimaklumkan.

Justeru, bermula tahun hadapan, tempoh permohonan kewarganegaraan yang diterima bagi individu di bawah 21 tahun akan melalui proses lebih efisien iaitu tiga bulan 14 hari di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lapan bulan di KDN.

Muhyiddin berkata dengan SOP baharu yang diluluskan itu, JPN dan KDN kini boleh melaksanakan tugas dengan lebih jelas dan menyegerakan setiap proses berdasarkan kewajaran, berbanding sebelum ini ada kes yang pemohon perlu menunggu sehingga 10 tahun.

Untuk rekod, dalam tempoh lima tahun antara 2013 hingga 2018, JPN merekodkan permohonan kewarganegaraan sebanyak 111,142 dengan 26,222 permohonan ditolak manakala 54,222 masih dalam proses dengan 27,835 adalah permohonan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Muhyiddin berkata bagi memastikan isu itu diselesaikan sebagaimana terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) khususnya berkaitan kanak-kanak tanpa dokumen, KDN telah menubuhkan pasukan petugas khas yang diberi tanggungjawab menyegerakan dan menyelesaikan semua perkara berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan.

Beliau berkata pasukan petugas khas diketuai timbalan ketua setiausaha KDN itu dijangka dapat menyelesaikan sebahagian besar daripada isu tersebut menjelang akhir tahun ini atau awal tahun hadapan.

Katanya lebih daripada 27,000 kes yang tertangguh dijangka dapat dikendalikan dan diselesaikan oleh pasukan petugas khas itu.

“Jangan salah faham ia sebagai mempermudahkan orang asing mendapat kewarganegaraan kerana jika pemohon dan permohonan itu layak dari segi Perlembagaan negara seperti kes anak angkat, ia tidak harus dilengahkan sehingga mengambil masa lebih lima tahun,” katanya.

— BERNAMA