KAJANG – Pertubuhan Pendidikan Cina yang dianggotai Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) mendesak agar diadakan sesi dialog bersama pihaknya dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.
Desakan itu dibuat selepas pihaknya gagal menganjurkan Kongres Jawi yang sepatutnya diadakan hari ini di Kolej New Era.
“(Kami) menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan dialog bersama Pertubuhan Pendidikan Cina dalam masa yang terdekat untuk menyelesaikan isu pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi di SJK,” kata Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng dalam satu sidang media hari ini.
Desakan itu antara empat ketetapan yang telah diputuskan dalam mesyuarat yang melibatkan 17 Persatuan Cina Persekutuan hari ini.
Dalam pada itu, Dong Zong berkata, pihaknya berjanji tidak akan mengadakan sebarang persidangan baru pada masa depan.
“Bukan saja Kementerian Pendidikan kita mahu juga berdialog dengan parti politik PH. Kita berpendapat isu itu boleh diselesaiksn secara dialog bukan dengan konfrontasi,” katanya lagi.
Mesyuarat itu dibuat selepas pihak Dong Zong gagal mengadakan kongres berhubung penolakan tulisan Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Kolej New Era.
Tiga lagi ketetapan itu adalah bertegas dengan pendirian untuk mempertahankan hak dan kuasa Lembaga Pengelola Sekolah dalam pengurusan sekolah, maka Lembaga Pengelola Sekolah mempunyai hak dan kuasa penentuan terhadap segala dasar Kementerian Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan di SJK.
Kedua, menyeru kerajaan prihatin terhadap pandangan masyarakat Cina dan India, supaya pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran tulisan Jawi dibatalkan dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu tahun 4 di SJK.
Terakhir, menyokong supaya sekolah memupuk semangat kepelbagaian budaya dengan kaedah interaksi budaya yang memperkenalkan seni tulisan pelbagai kaum, termasuk seni tulisan Jawi, Cina, Tamil dan suku kaum lain. – MalaysiaGazette