Home Utama Remaja Malaysia maut terlanggar tiang ketika bermain papan selaju di Australia

Remaja Malaysia maut terlanggar tiang ketika bermain papan selaju di Australia

KUALA LUMPUR – Seorang remaja, Mohammad Farhan Fudhail Mohammad Farid, dilaporkan maut semasa bermain papan selaju (skateboard) di Townsville, Queensland, Australia.

Ibu mangsa remaja berusia 16 tahun itu yang dikenali sebagai Natasha ketika dihubungi Bernama pagi ini mengesahkan kejadian itu dan berkata usaha sedang diambil untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.

Media Australia hari ini melaporkan Mohammad Farhan Fudhail dari Kuantan bermain papan selaju bersama rakannya maut selepas terlanggar pada tiang.

Siasatan awal polis Queensland mendapati remaja berkenaan cuba memperlahankan papan selajunya semasa meluncur ketika menuruni bukit sebelum terlanggar tiang itu.

Mohammad Farhan Fudhail yang memakai topi keledar keselamatan semasa kejadian dilaporkan berada dalam keadaan kritikal ketika dirawat pasukan paramedik sekitar 2.30 petang semalam waktu tempatan di Jezzine Barracks, North Ward.

Remaja itu dikatakan datang bercuti ke negara ini bersama keluarganya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang dihubungi Bernama berkata, pihaknya telah menghubungi Natasha dan urusan membawa pulang jenazah ke Malaysia sedang diuruskan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra.

“Ibu mangsa sedang menunggu laporan bedah siasat manakala syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) turut dihubungi bagi urusan penerbangan,” katanya. – Bernama